BANGI – MM2H atau nama panjangnya, Malaysia My Second Home atau Malaysia Rumah Kedua Ku ialah satu program yang dipromosikan oleh Kerajaan Malaysia bagi membenarkan warga asing yang memenuhi kriteria tertentu menetap di Malaysia sebagai rumah kedua mereka. Sebelum ini, visa Malaysia My Second Home (MM2H) diberi dengan tempoh 10 tahun, boleh diperbaharui malah tidak disertai syarat sedikit pun untuk tempoh minima menetap di Malaysia.
Program MM2H ini dikatakan sangat berkesan meningkatkan kemasukan warga asing ke Malaysia malah tidak secara langsung mempermudahkan ‘jalan’ mereka untuk mempunyai ‘masa depan’ yang sangat terjamin bahkan buat anak keturunan mereka di negara ini.
Manakan tidak, pelbagai keistimewaan yang boleh diperoleh seperti pemilikan hartanah, kebenaran membawa tanggungan yang ramai malah berpeluang untuk mendapat status penduduk tetap.
Ketua Penerangan BERJASA, Mohd Hamdan Mohd Sharif berpendapat projek MM2H hanya menguntungkan pihak asing berbanding rakyat tempatan sendiri. Dengan pelbagai kesan yang melibatkan perubahan dasar-dasar yang lebih memihak dan memberi manfaat kepada ‘warga asing’ seperti dasar kewarganegaraan, pembandaran, dan perumahan seperti isu penetapan rumah harga tinggi, kemampuan untuk membeli hartanah dan besarnya peluang ‘warga asing’ ini menjadi penduduk tetap di Malaysia.
“Sepertinya, kerajaan Malaysia masih positif untuk meneruskan pelbagai ‘tawaran’ melalui program ini walaupun rakyat melihat prioriti kerajaan sebenarnya sudah terlalu lama beralih dari yang sepatutnya”.
“Saya lihat situasi sekarang seakan bagai anak monyet di hutan disusui, anak sendiri di rumah kekeringan. Kita seperti terlampau ‘meraikan’ kemasukan warga asing sehinggakan negara kita menjadi salah satu pilihan untuk ‘tempat persaraan’ bagi penduduk bukan warganegara”, tegas beliau.
Tambah beliau, BERJASA merasakan langkah yang diambil oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya ini tidaklah memberi apa-apa nilai dan manfaat meluas kepada rakyat tempatan malah menjadi ruang kepada budaya dan naratif asing untuk terus hidup dan mekar berbanding budaya dan naratif asal tanah ini.
Kerajaan hendaklah mencari alternatif yang lebih baik untuk meransang ekonomi negara berbanding hanya menggunakan cara yang sama dan jelas kebergantungannya kepada entiti luar. Kehadiran warga asing ini sepatutnya diperguna, bukan akhirnya seakan-akan memimpin hala tuju dan cara hidup kita.
Selain itu, BERJASA juga menyeru untuk memberikan kuasa penuh MM2H di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN), khususnya Jabatan Imigresen dan penglibatan PDRM. Ia melibatkan kawalan keselamatan Negara, tetapi yang menentukan adalah Kementerian Pelancongan maka satu kejanggalan berlaku di situ.
Terdahulu, Tiong King Sing selaku Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya berhasrat untuk menggalakkan lagi peningkatan kemasukan warga asing dengan menyatakan usahanya untuk menilai semula dan melonggarkan lagi syarat-syarat MM2H walaupun hakikatnya ia berpotensi memberi kesan kepada demografi dalam negara hatta laporan sebelum ini merekodkan banyak disumbangkan oleh kelompok warga China.
Ahli Parlimen DAP, Lim Lip Eng kemudian dalam kenyataan terbarunya berpandangan peraturan baru MM2H yang mewajibkan kepada bakal pemohon untuk menahan pembelian hartanah di negara ini sehingga 10 tahun perlulah dipertimbangkan semula.
Hal ini kerana, ia dianggap tidak produktif malah sebagai penghalang kepada bakal pemohon serta pembeli untuk memegang hartanah.