Topik mengenai nadir bumi di Malaysia kembali hangat diperkatakan apabila pihak pembangkang telah menubuhkan syarikat SG4 Group Sdn Bhd (SG4 Group) bagi memajukan industri memproses nadir bumi ataupun kata lainnya rare earth element (REE) di negeri masing-masing iaitu Kedah, Terengganu, Kelantan dan Perlis.
Pemfokusan bisnes oleh SG4 Group ini dengan menjadikan sumber nadir bumi sebagai produk utama perniagaan mereka dilihat ada kewajarannya memandangkan Malaysia memiliki sumber unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) dianggarkan berjumlah 16.1 juta tan dengan nilai pasaran sebanyak RM809.6 bilion.
Hal ini ditambah pula dengan potensi yang dimiliki negeri Terengganu menjadi negeri pengeluar serta pemprosesan utama unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) di Malaysia jika hasil itu berjaya diurus dengan baik.
Malahan Terengganu juga memiliki sumber NR-REE paling banyak iaitu sekitar 7,187,500 tan daripada 15.2 juta yang ada di negara ini.
Oleh hal yang demikian, hal ini tidak mustahil Malaysia mempunyai potensi yang besar dalam pasaran nadir bumi dunia.
Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berpendapat kemunculan SG4 Group dalam industri nadir bumi ini sebagai satu persaingan yang sihat kerana ia dapat membuktikan siapa yang paling handal membawa teknologi pemprosesan unsur nadir bumi (REE) ke negara ini.
Hal ini demikian kerana industri REE dikuasai hampir 90 peratus oleh negara China sekali gus menjadi masalah kepada idea untuk memajukan sektor berkenaan di Malaysia.
Membawa Potensi Yang Besar Kepada Ekonomi Malaysia
Sumber REE ini berpotensi membawa impak yang besar kepada ekonomi Malaysia jika mampu diuruskan dengan baik.
Industri ini dijangka menyumbang RM9.5 bilion kepada KDNK Malaysia pada tahun 2025 selain mewujudkan sekitar 7,000 pekerjaan.
Sumber REE ini mempunyai nilai yang besar kerana permintaan global yang semakin meningkat untuk teknologi hijau dan elektronik canggih.
Hal ini boleh dilihat kepada rancaknya pembangunan dan penciptaan teknologi baharu terutamanya dalam melibatkan pembangunan teknologi kereta elektrik (EV).
Tiga unsur NR-REE itu ialah Praseodymium, Neodymium dan Dysprosium banyak terdapat di Terengganu, Kelantan, Perak, Pahang serta Kedah yang merupakan elemen utama dalam penghasilan magnet berkuasa tinggi bagi menghasilkan motor elektrik kereta hibrid/elektrik.
Fakta ini menunjukkan bahawa Malaysia mampu mengeksport komponen utama yang diperlukan untuk pembuatan EV malahan tidak mustahil akan datang Malaysia juga mampu menghasilkan jenama EV sendiri.
Dalam laporan Fortune Business Insight, ia melaporkan bahawa nilai pasaran dunia EV pada 2023 adalah sebanyak USD 255.54 bilion dan ia akan meningkat sekitar 23.42% yang berjumlah USD 2.11 trilion pada 2033.
Pasaran ini agak besar dan menguntungkan jika Malaysia mampu menembusinya sebagai negara pengeluar malahan sektor lain seperti teknologi peralatan elektrik juga boleh dimanfaatkan oleh Malaysia dengan adanya REE ini.
Hal ini tidak mustahil Malaysia berpotensi menjadi negara berpendapatan tinggi pada tahun yang ke hadapan seperti yang disasarkan oleh kerajaan dengan syarat ekonomi negara dipacu teknologi dengan syarikat di negara ini memanfaatkan sepenuhnya pendigitalan, automasi, kecerdasan buatan (AI) dan inovasi untuk kekal berdaya saing dan menjadi pelopor kepada teknologi.
Cabaran Menguruskan Sumber Nadir Bumi Di Malaysia
Menguruskan REE di Malaysia juga menghadapi beberapa cabaran yang kompleks, yang berkaitan dengan ekonomi, alam sekitar, teknologi, dan peraturan.
Di kala negara kita ingin mengejar kemajuan untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi, perkara ini perlu diambil perhatian oleh pihak kerajaan bagi memastikan negara kita sudah cukup bersedia untuk menghadapi sebarang cabaran yang bakal dihadapi dalam menguruskan sumber ini.
Salah satu kebimbangan utama dalam pengurusan sumber nadir bumi adalah potensi kesan alam sekitar yang negatif.
Proses perlombongan nadir bumi boleh menyebabkan kerosakan tanah, pencemaran air, dan pengeluaran sisa toksik jika tidak diurus dengan betul.
Walaupun Malaysia mempunyai deposit nadir bumi yang tidak radioaktif, ia masih memerlukan langkah-langkah keselamatan yang ketat untuk mengelakkan pencemaran dan merosakkan ekosistem tempatan
Kita tidak mahu keadaan ini akan menjadi sama seperti yang dihadapi oleh industri sawit negara apabila pihak Kesatuan Eropah (EU) dengan lantang ingin memboikot produk minyak sawit keluaran Malaysia kerana didakwa merosakkan ekosistem hutan hijau Malaysia.
Selain itu, harga pasaran nadir bumi global sering tidak stabil, terutamanya kerana ketergantungan kepada permintaan industri teknologi tinggi seperti elektronik dan kenderaan elektrik.
Jika harga global jatuh, Malaysia mungkin menghadapi cabaran dalam memastikan operasi perlombongan dan pemprosesan berterusan secara menguntungkan.
Ketidakpastian ini menjadikan Malaysia perlu berhati-hati dalam merancang pelaburan jangka panjang dalam sektor ini bagi mengelakkan kerugian yang lebih besar.
Hal ini menunjukkan bahawa Malaysia sememangnya memiliki potensi yang besar untuk mengkayakan ekonominya melalui REE ditambah pula dengan kerancakan industri teknologi sekarang.
Namun begitu, pengurusan sumber REE memerlukan strategi yang seimbang antara manfaat ekonomi dan perlindungan alam sekitar.
Malaysia perlu membangunkan dasar-dasar yang lebih jelas, melabur dalam teknologi yang mampan, serta memastikan keterlibatan masyarakat dalam pengurusan sumber ini.