KUALA LUMPUR – Keputusan Malaysia untuk menyertai pakatan BRICS telah diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada bulan yang lalu.
Keputusan penyertaan ke dalam BRICS itu dibuat dengan pendirian bahawa Malaysia perlu bermain dengan keseimbangan kuasa yang mana Malaysia tidak perlu terlalu bergantung kepada AS sahaja dalam urusan geopolitik.
Sumber yang terbaharu juga memaklumkan Malaysia telah menghantar permohonan rasmi untuk menyertai BRICS bermula minggu ini seperti yang dimaklumkan oleh portal berita CNA.
Apa Itu BRICS?
BRICS merupakan sebuah pakatan yang awalnya disertai oleh Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan dan kelima-lima negara ini apabila disingkatkan namanya dengan mengambil huruf pertama menjadi BRICS.
Pakatan ini telah dibentuk pada tahun 2010 dan memfokuskan kepada lima perkara iaitu kerjasama ekonomi, politik, pertukaran budaya dan sosial dan penubuhan institusi kewangan.
BRICS ditubuhkan bagi membolehkan negara anggotanya menguatkan hubungan perdagangan sesama mereka dengan tidak terlalu bergantung kepada ekonomi daripada pihak Barat yang mungkin merujuk kepada AS.
Mereka juga menggunakan pakatan ini untuk mengadakan kerjasama dalam membangunkan projek infrastruktur yang besar untuk menaikkan prestasi ekonomi mereka.
Dalam pada masa yang sama juga, pakatan BRICS membolehkan negara anggota untuk melakukan reformasi terhadap institusi politik antarabangsa seperti PBB. Hal ini membolehkan mereka untuk membawa suara bagi pihak yang tidak seiring dengan mana-mana institusi antarabangsa yang dilihat agak pro kepada Barat.
Selain itu, pertukaran budaya dalam kalangan negara anggota juga menjadi objektif BRICS yang mana mereka boleh bertukar teknologi, hasil penyelidikan sains dan teknologi penjagaan kesihatan.
Bukan itu sahaja malahan BRICS juga memfokuskan untuk menubuhkan institusi kewangan baharu. Buktinya, BRICS telah menubuhkan Bank Pembangunan bagi membolehkan projek pembangunan dalam kalangan negara anggota didanai oleh bank ini.
Kini selain Malaysia BRICS juga bakal dan sudah menerima keahlian daripada negara lain iaitu Mesir, Ethiopia, Iran, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu.
Apakah Pro Dan Kontra Kepada Malaysia Jika Sertai BRICS?
Keputusan Malaysia ingin menyertai BRICS dilihat mempunyai pelbagai kelebihan dan kelemahan untuk Malaysia. Hal ini boleh diperhatikan dalam beberapa keadaan iaitu dalam aspek politik, ekonomi, pembangunan dan budaya.
Antara kekuatan yang bakal diperoleh oleh Malaysia ialah dari segi ekonomi. Penyertaan Malaysia di dalam pakatan ini dapat membuka peluang perdagangan yang baharu bersama negara anggota dan akhirnya mengurangkan kebergantungan Malaysia terhadap pasaran ekonomi daripada Barat.
Akses pasaran pengguna dalam kalangan negara anggota BRICS juga lebih besar apabila Statista melaporkan BRICS mencatatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 25.85 trillion dollar yang mana ia lebih besar daripada KDNK milik AS.
Selain itu juga, pengukuhan posisi Malaysia di dalam pakatan dapat membolehkan Malaysia untuk mengimbangkan kuasa terhadap pengaruh Barat terutamanya di rantau Asia Tenggara.
Namun demikian, penyertaan Malaysia ke dalam pakatan ini juga boleh mendatangkan kesan yang buruk kepada Malaysia iaitu kebergantungan yang berlebihan kepada ekonomi pakatan ini boleh meningkatkan persaingan daripada syarikat-syarikat negara anggota BRICS yang akhirnya akan menimbulkan cabaran kepada perniagaan tempatan Malaysia.
Penyertaan Malaysia di dalam BRICS juga boleh merenggangkan hubungan Malaysia dengan negara-negara Barat yang berpotensi menjejaskan hubungan diplomatik dan ekonomi.
Bukan itu sahaja malahan peningkatan pergerakan orang dan tenaga kerja antara Malaysia dan negara-negara BRICS boleh mempengaruhi pasaran kerja dan dinamik sosial tempatan.
Akhir sekali, Malaysia mungkin perlu memperuntukkan sumber yang besar untuk menyertai inisiatif dan projek BRICS secara aktif.
Secara keseluruhan, keputusan menyertai BRICS boleh menawarkan manfaat ekonomi, geopolitik, dan pembangunan yang signifikan kepada Malaysia tetapi ia juga akan menghadirkan cabaran yang perlu dipertimbangkan dan diurus dengan teliti. Keputusan ini bergantung kepada keutamaan strategik Malaysia dan keupayaannya untuk mengatasi kerumitan yang berkaitan dengan langkah sedemikian.