KUALA LUMPUR, 8 Mei — Presiden Parti BERJASA Malaysia, Zamani Ibrahim menyifatkan kerajaan gagal menyusun keutamaan dalam sektor pertanian negara apabila golongan pesawah terus dibelenggu peningkatan kos operasi dan ketidakseimbangan struktur industri padi.
Kenyataan itu dibuat ketika isu cadangan kenaikan harga lantai belian padi kepada RM3,000 satu tan metrik oleh Perikatan Nasional hangat diperdebatkan, selain kebimbangan berhubung kesan kenaikan harga diesel terhadap kos pengeluaran pesawah.
Menurut Zamani, perbincangan mengenai bantuan dan subsidi kepada pesawah tidak sepatutnya dilihat semata-mata dari sudut angka kewangan, sebaliknya perlu difahami sebagai isu strategik melibatkan keselamatan makanan negara.
“Isunya bukan pada ringgit sahaja, tetapi soal padi dan beras negara yang ada akta tersendiri. Seramai 34 juta rakyat makan beras setiap hari, tetapi mengapa peladang dan pesawah masih berada dalam kepompong kemiskinan,” katanya.
Kos operasi semakin menghimpit pesawah
Beliau berkata, kenaikan diesel menjejaskan pesawah kerana operasi membajak, menuai dan pam air bergantung kepada bahan api itu.
Menurutnya, peningkatan kos itu menyebabkan perbelanjaan tanaman padi kini melebihi RM3,000 seekar berbanding sekitar RM2,000 sebelum ini.
Sebelum ini, Hamzah Zainudin berkata kos meningkat akibat kebergantungan tinggi sektor padi terhadap diesel.
Beliau turut membangkitkan ketiadaan subsidi jentera serta kelewatan dan kerumitan Skim Takaful Tanaman Padi (STTP).
Harga lantai padi jadi perdebatan
Dalam perkembangan berkaitan, cadangan menaikkan harga lantai padi kepada RM3,000 turut mencetuskan perdebatan mengenai kesannya terhadap harga beras.
Cadangan itu melibatkan peningkatan sekitar 100 peratus berbanding kadar semasa kira-kira RM1,500 satu tan metrik.
Bagaimanapun, beberapa pihak berpandangan kenaikan mendadak itu boleh menyebabkan harga beras meningkat sekiranya kerajaan tidak menyediakan mekanisme subsidi yang jelas.
Penganalisis ekonomi, Nuradli Ridzwan Shah berkata kerajaan perlu menyediakan subsidi besar jika mahu kekalkan harga beras semasa.
Katanya, kerajaan perlu menanggung perbezaan harga bagi membantu pesawah tanpa membebankan pengguna.
Insentif sedia ada disifatkan tidak mencukupi
Dalam pada itu, Abdul Rashid Yob berkata kos pembajakan dan penuaian meningkat lebih 50 peratus akibat kenaikan diesel.
Beliau berkata, keadaan menjadi lebih berat apabila digabungkan dengan kenaikan kos input pertanian seperti baja, racun dan benih.
Menurutnya, insentif pembajakan dan penuaian sedia ada tidak lagi relevan kerana kos sebenar melebihi RM600.
“Jika dahulu satu tong diesel sekitar RM45, kini meningkat kepada lebih RM130. Akhirnya pesawah juga yang menanggung beban,” katanya.
Pesawah turut melahirkan rasa kecewa apabila sektor tanaman padi tidak disenaraikan dalam Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) versi 1.0 dan 2.0.
MADA perlu diperkasa secara menyeluruh
Mengulas peruntukan RM45.6 juta kilang padi MADA di Kedah, Zamani berkata ia bukan sekadar projek pembangunan biasa.
Sebaliknya, beliau menegaskan MADA perlu diperkasakan secara menyeluruh melalui suntikan bajet jauh lebih besar bagi membangunkan sistem pertanian mega dan berteknologi tinggi.
“Perkasakan fungsi MADA, bukan sekadar RM1 bilion. Kerajaan perlu berani menyediakan bajet sekitar RM30 bilion setahun untuk membangunkan sistem pertanian negara secara moden dan berteknologi tinggi,” katanya.
Bimbang tanah sawah dikuasai taikun
Zamani turut memberi amaran bahawa kegagalan memperkukuh ekosistem pertanian negara secara sistematik boleh menyebabkan tanah sawah semakin terbiar dan akhirnya dikuasai pihak berkepentingan.
Katanya, keadaan itu berisiko membuka ruang kepada golongan taikun menguasai tanah sawah dalam skala besar sehingga menjejaskan masa depan sumber makanan utama negara.
“Jika tidak fokus membangunkan MADA secara sistematik, tanah sawah akan terbengkalai dan berpotensi diambil oleh taikun-taikun yang mengumpul tanah sawah berhektar-hektar.
“Kita tidak mampu membayangkan nasib masa depan jika sumber makanan utama negara akhirnya dikuasai pihak tertentu,” katanya.