Kerajaan Wajar Bahaskan Di Parlimen Dahulu Jika Malaysia Ingin Sertai Pakatan BRICS

BRICS

GOMBAK – Kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengatakan Malaysia sudah memulakan prosedur rasmi untuk menyertai kesatuan ekonomi yang dipelopori oleh negara Brazil, India, China dan Afrika Selatan (BRICS) jelas mendapat perhatian ramai pihak. Keputusan untuk menyertai BRICS dikatakan beliau sebagai satu keputusan yang wajar dan tepat.

Namun sehingga kini, proses penyertaan itu masih lagi belum dimuktamadkan kerana perlu menunggu keputusan akhir dan makum balas daripada kerajaan Afrika Selatan.

Beliau berkata demikian sewaktu ditemu bual oleh Guancha yang merupakan sebuah syarikat penerbitan berpangkalan di Shanghai, China.

Tambah beliau lagi di dalam temu buat tersebut, beliau juga tanpa berselindung memuji Presiden China, Xi Jinping sebagai pemimpin yang berjaya mengubah Asia menjadi benua yang dihormati oleh negara kuasa besar dunia yang lain.

Pemuda BERJASA, Isma Aiman melihat keputusan yang dibuat oleh Anwar Ibrahim untuk Malaysia menyertai pakatan BRICS merupakan satu keputusan yang agak terburu-buru. Beliau mendakwa keputusan ini seperti sesuatu yang tidak dijangka dan mengejutkan orang ramai.

Jelas beliau, keputusan untuk memasukkan negara ke mana-mana pakatan perlu dibahaskan terlebih dahulu di Parlimen secara bersama kerana ia melibatkan polisi dan dasar luar negara. Maka seeloknya untuk semua pimpinan termasuk di pihak kerajaan mahupun pembangkang diberikan peluang untuk memberikan pendapat sebelum sesuatu keputusan melibatkan dasar luar negara dibuat.

“Kita sudah jelas bahawa tujuan Anwar Ibrahim ingin memasukkan Malaysia ke dalam BRICS adalah dengan bertujuan untuk mewujudkan keadaan “multipolarism”. Beliau cuba menyeimbangkan suhu geopolitik di rantau Asia Tenggara ini dengan tidak terlalu bergantung kepada Amerika Syarikat semata-mata namun menyeimbangkannya juga dengan China”.

“Untuk luarannya ia dilihat sangat baik memandangkan kedudukan geografi Malaysia juga amat strategik jika menyertai BRICS. Namun perkara ini perlu dibawa ke Parlimen terlebih dahulu bukannya terus mengumumkannya begitu sahaja”.

“Ia mencerminkan pendirian kerajaan berkaitan dasar hubungan luarnya, maka perkara ini amat penting untuk dibincangkan terlebih dahulu”, tegas beliau.

Tambah beliau lagi, terdapat kontra jika Malaysia menyertai BRICS ini. Beliau menempelak Anwar Ibrahim kerana membuat keputusan yang agak terburu-buru tanpa memikirkan kesan jangka panjang.

Beliau mendakwa penyertaan Malaysia ke dalam BRICS akan memakan diri kerana anggota pakatan itu iaitu China akan mendominasi segala hal ehwal pakatan itu termasuk hala tuju BRICS itu sendiri. Hal ini kerana China merupakan negara kuasa besar ekonomi dunia maka ia akan secara tidak langsung menenggelamkan negara anggota lain untuk terlibat sama dalam membuat keputusan.

Bukan itu sahaja malahan tujuan asal penubuhan BRICS untuk menentang dominasi dolar AS juga masih belum menampakkan hasil lagi akibat hubungan yang tegang antara India dan China. China menginginkan mata wangnya iaitu renminbi untuk dijadikan sebagai mata wang BRICS namun dibantah oleh India. Brazil pula mencadangkan untuk BRICS mencipta satu mata wang yang baharu namun cadangan itu tidak mendapat sambutan yang menggalakkan.

“Jika pakatan itu tidak menampakkan kesepakatan untuk mencapai tujuan yang sama, lebih elok kerajaan menilai kembali keputusan untuk menyertainya kerana ia melibatkan masa depan hubungan diplomatik negara”, kata beliau.

Penyertaan Malaysia ke dalam BRICS juga wajar dipersoalkan kerana dalam masa yang sama China semakin rakus dan konsisten menceroboh sempadan maritim negara yang didakwa sebagai sempadan China merujuk kepada “9 Dash Line“.

Hal ini ditambah lagi dengan kontroversi yang dicetuskan oleh Anwar Ibrahim yang mengatakan Malaysia sedia berunding dengan China melibatkan kawasan Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) milik Malaysia,

Kumpulan BRICS telah menyaksikan dua gelombang pengembangan sejak kemunculannya pada 2006.

Pada 2011, Afrika Selatan termasuk Brazil, Rusia, India dan China merupakan peserta asal menyertai BRIC.

Bagaimanapun, pada Ogos 2023, enam ahli baharu, termasuk Argentina telah dijemput untuk menyertai persatuan itu, Buenos Aires menukar fikirannya pada akhir Disember tahun lalu.

Lima ahli baharu, Mesir, Iran, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi dan Ethiopia secara rasmi menyertai kumpulan itu pada 1 Januari 2024.

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post
sekolah cina

Sekolah Cina Sudah Melampau!

Next Post
ECRL

Dahulu Kritik, Kini ECRL Mahu Diteruskan Kerajaan

Related Posts