Malaysia Menuju Negara Tua Menjelang 2030

Malaysia dijangka sedang menuju ke arah menjadi negara tua menjelang 2030 yang mana sebahagian besar rakyat Malaysia akan terdiri daripada warga emas berusia 65 tahun ke atas.

Kenyataan ini disokong melalui laporan Jabatan Statistik Malaysia (JSM) apabila peratusan penduduk dikategorikan sebagai warga emas 65 tahun dan lebih meningkat kepada 7.3 peratus pada 2022 berbanding 7.0 peratus pada 2021 daripada keseluruhan populasi Malaysia.

Berdasarkan definisi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Malaysia sudah menjadi negara menua, tambahan lagi usia penengah meningkat dari 30.1 tahun pada 2021 kepada 30.4 tahun pada 2022.

Jika benar laporan ini, status Malaysia sama seperti negara Jepun yang sudah sekian lama menjadi negara tua.

Apakah Yang Dimaksudkan Dengan Negara Tua?

Negara tua merujuk kepada sesebuah negara yang penduduknya semakin menua dan terdapat peningkatan peratusan warga emas dalam populasi rakyat negara tersebut.

Penuaan ini biasanya disebabkan oleh dua faktor utama iaitu peningkatan jangka hayat akibat kemajuan dalam bidang perubatan dan kesihatan serta penurunan kadar kelahiran akibat perubahan dalam pola keluarga dan ekonomi.

Negara yang sedang beralih ke status negara tua mengalami apa yang dikenali sebagai transisi demografi, di mana nisbah penduduk muda kepada penduduk tua menurun dengan ketara.

Antara ciri negara tua yang digariskan oleh Population Reference Bureau ialah selain daripada memiliki peratusan warga emas yang tinggi, sesebuah negara itu mengalami kadar kelahiran yang rendah, yang bermaksud bilangan bayi yang dilahirkan setiap tahun tidak mencukupi untuk menggantikan generasi sebelumnya.

Rakyat di negara tua biasanya mempunyai jangka hayat yang lebih panjang akibat daripada akses kepada perkhidmatan kesihatan yang lebih baik, pemakanan yang baik, dan keadaan hidup yang lebih selesa.

Namun begitu, peningkatan warga emas ini menyebabkan negara tua mencatatkan peningkatan dalam nisbah tanggungan iaitu bilangan orang yang tidak bekerja (warga emas) berbanding dengan bilangan orang yang bekerja (golongan muda).

Hal ini boleh memberikan beban ekonomi kepada golongan muda dan produktiviti di tempat kerja tersebut.

Impak Dan Solusi Untuk Malaysia Menjelang 2030

Malaysia dijangka bakal menanggung impak yang besar ketika dalam fasa ataupun memegang status penuh sebagai negara tua kelak.

Antara impak yang dijangkan diperoleh oleh Malaysia ialah akan berlakunya pengurangan tenaga kerja muda apabila ramai penduduk yang terdiri daripada warga emas telah bersara.

Hal ini akan memberi kesan negatif kepada produktiviti negara sehingga menyebabkan pertumbuhan ekonomi menjadi lembab dan perlahan.

Sebagai tindak balas, Malaysia berkemungkinan besar akan mula memperkenalkan dasar untuk melanjutkan umur persaraan atau menyediakan peluang kerja yang fleksibel untuk warga emas.

Dalam mendepani cabaran yang akan datang ini, Malaysia telah menyediakan pelbagai kemudahan bagi golongan warga emas di bawah kelolaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Antara kemudahan yang disediakan termasuklah bantuan kewangan iaitu Bantuan Warga Emas (BWE) di mana sejumlah RM500.00 sebulan seorang sebagai saraan hidup diberikan kepada warga emas yang memerlukan bantuan supaya terus tinggal dalam komuniti.

Selain daripada bantuan kewangan, JKM turut menyediakan kemudahan seperti Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) dan Unit Penyayang Warga Emas (UPWE). 

Kerajaan juga boleh mempertimbangkan untuk mengambil langkah lain dengan menyediakan insentif kewangan seperti potongan cukai untuk syarikat yang menggaji warga emas atau yang menyediakan perkhidmatan untuk mereka.

Hal ini dapat membolehkan kerajaan untuk memperkenalkan pilihan pekerjaan separuh masa atau fleksibel untuk warga emas yang masih mampu dan mahu bekerja yang juga boleh membantu mengurangkan kekurangan tenaga kerja.

Hal ini menunjukkan kerajaan dilihat sudah membuat persediaan yang awal untuk mempersiapkan Malaysia menuju negara tua menjelang 2030.

Negara tua adalah negara yang mengalami peningkatan peratusan warga emas dalam populasi, yang membawa pelbagai cabaran dan perubahan dalam ekonomi, sosial, dan dasar awam.

Bagi menghadapi situasi ini, negara perlu bersedia dengan dasar yang sesuai, mempromosikan penuaan yang sihat dan menyesuaikan struktur ekonomi dan sosial mereka agar dapat memastikan kesejahteraan semua lapisan masyarakat, termasuk golongan tua.

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Universiti Awam: Masih Relevan Atau Tidak?

Next Post

Malaysia Catatkan Kadar Kelahiran Yang Rendah

Related Posts