Universiti Awam: Masih Relevan Atau Tidak?

Pengumuman keputusan kemasukan ke universiti awam bagi lepasan SPM dan STPM/Setaraf sesi 2024/2024 akan diumumkan tidak lama lagi.

Semestinya ramai pelajar-pelajar lepasan SPM dan STPM yang tidak sabar menunggu keputusan nanti dengan harapan mereka berjaya memasuki universiti awam yang mereka mohon.

Namun begitu, wujudnya trend yang menidakkan perancangan untuk melanjutkan pendidikan ke peringkat yang lebih tinggi atas alasan universiti tidak memberikan sebarang jaminan untuk mendapatkan peluang pekerjaan selepas tamatnya pengajian.

Mereka menggunakan hujah keadaan semasa yang menunjukkan kadar pengangguran meningkat dan sehelai sijil ijazah yang berada di tangan tidak semestinya melayakkan mereka untuk mendapatkan pekerjaan.

Hal ini memang tidak dinafikan zaman sekarang amat mencabar untuk bersaing di dalam industri pekerjaan di tambah pula dengan kepesatan teknologi digital yang begitu pantas.

Namun begitu, adakah ini memberikan kredit yang mengesahkan institusi sudah tidak lagi relevan?

Berbeza dengan universiti swasta, mereka mengatakan universiti swasta lebih memberikan pulangan yang baik kerana mampu memasarkan graduannya ke pasaran kerja dengan begitu ramai.

Universiti Awam Memacu Kemajuan Pendidikan Nasional

Univeristi awam sebenarnya masih relevan dan memainkan peranan penting dalam pembangunan negara serta kesejahteraan masyarakat.

Universiti awam menyediakan akses kepada pendidikan tinggi yang lebih murah dan boleh dicapai oleh pelajar dari pelbagai latar belakang sosioekonomi terutamanya kepada golongan yang berlatarbelakangkan B40 ataupun M40.

Kebanyakan universiti swasta mengenakan yuran yang tinggi sehingga mencecah puluhan ribu ringgit dan semestinya hanya golongan berpendapatan tinggi sahaja mampu membiayai pendidikan di universiti swasta.

Kewujudan institusi pendidikan awam ini dapat membantu mengurangkan jurang pendidikan antara golongan kaya dan kurang berkemampuan.

Universiti awam masih relevan kerana berperanan sebagai pusat penyelidikan yang menghasilkan penemuan dan inovasi dalam pelbagai bidang seperti sains, teknologi, perubatan, dan sains sosial.

Selain itu, ramai pihak yang memikirkan universiti swasta mampu melahirkan graduan yang berkualiti namun mereka tidak sedar ataupun kurang jelas bahawa universiti awam juga memainkan peranan dalam melahirkan graduan yang mempunyai pengetahuan, kemahiran, dan etika yang diperlukan oleh industri.

Hal ini dapat dibuktikan melalui laporan yang menunjukkan Universiti Putra Malaysia (UPM) telah mencapai 99.4 peratus kebolehpasaran graduan pada tahun 2023.

Sebelum itu juga Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mencatatkan kadar kebolehpasaran graduan tertinggi dalam kalangan universiti awam di Malaysia pada tahun 2022 iaitu 97.9 peratus.

Maka jelas bahawa universiti awam membantu meningkatkan kebolehpasaran graduan dan mengurangkan kadar pengangguran.

Bukan setakat membantu ekonomi negara melalui pengurangan kadar pengangguran malahan universiti awam juga menyumbang kepada pembangunan ekonomi melalui penyelidikan dan penghasilan tenaga kerja yang berpengetahuan dan inovatif.

Oleh hal yang demikian, universiti awam di Malaysia masih sangat relevan dan penting dalam konteks pembangunan negara, sosial, dan ekonomi.

Walaupun cabaran seperti persaingan global dan keperluan untuk penambahbaikan berterusan wujud, peranan institusi pendidikan awam dalam membentuk masa depan Malaysia tidak boleh dipertikaikan.

Mereka adalah institusi yang memastikan pendidikan tinggi berkualiti dapat diakses oleh semua, memajukan penyelidikan dan inovasi, dan membangunkan modal insan yang diperlukan untuk menghadapi cabaran masa depan.

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Bagaimana BRICS Akan Mengubah Malaysia?

Next Post

Malaysia Menuju Negara Tua Menjelang 2030

Related Posts