Shah Alam – Penetapan 3R yang melibatkan raja, agama dan kaum yang diperkenalkan oleh kerajaan semakin hangat diperkatakan apatahlagi aura kemeriahan pilihan raya negeri (PRN) akan tiba tidak lama lagi.
Mengikut kronologi kes yang telah disabitkan dengan 3R melibatkan ahli politik, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menerima dua laporan polis daripada orang awam. Pertama, melibatkan isu kenyataan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng yang ucapannya menyentuh menyentuh isu 3R dengan mendakwa ‘gelombang hijau’ bakal memusnahkan tokong dan menafikan hak agama di Pulau Pinang sewaktu program ‘Tian Fu Gong Bai Long Wang Singapore – Malaysia Tour 2023’ di Tokong Batu, Jelutong, Pulau Pinang pada 7 Julai lalu.
Kedua, ia melibatkan Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi bin Mohd Nor yang didakwa menyentuh mengenai perkenan Sultan Selangor, berkaitan pelantikan Menteri Besar Selangor. Kenyataan tersebut disifatkan sebagai menghina institusi beraja di Selangor yang akhirnya mengakibatkan beliau didakwa di dua mahkamah sesyen berbeza di hadapan Hakim Nor Rajiah Mat Zin dan Osman Affendi Mohd Shalleh.
Pemuda BERJASA, Isma Aiman melihat ini satu tindakan yang tegas daripada kerajaan dalam usaha untuk menghalang ahli-ahli politik ini mengeluarkan kenyataan yang melampau sehingga menimbulkan kegusaran awam.
Namun bagi beliau, seeloknya perlaksanaan ini dibuat secara adil kerana sekarang ini hanya pihak pembangkang iaitu Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi bin Mohd Nor sahaja yang ditahan didakwa di mahkamah namun di pihak kerajaan iaitu Lim Guan Eng masih lagi belum ada tanda-tanda akan didakwa oleh pihak berkuasa.
“Saya ingin mempersoalkan adakah penetapan 3R ini hanya ingin dikenakan kepada pihak lawan sahaja memandangkan di sebelah ini memfokuskan untuk berbicara soal perjuangan mempertahankan hak orang Melayu dan Islam. Ini kerana kita tahu bahawa ideologi mereka terbentuk daripada asas perjuangan tersebut”.
“Penguatkuasaan 3R ini satu inisiatif yang baik namun ia perlu lah adil untuk semua orang dan tidak akan ada seorang ahli politik pun yang terlepas daripada penguakuasaan ini”.
“Namun sebaliknya yang berlaku malahan saya melihat 3R ini dibuat sebagai satu tekanan politik kepada pihak pembangkang yang menampakkan lagi ia digunakan sebagai serangan politik”, jelas beliau.
Tambahnya lagi, beliau melihat perlaksanaan 3R ini masih samar-samar kerana kerajaan tidak memperincikan dan menerangkan secara telus apa syarat-syarat yang membolehkan seseorang itu didakwa melanggar 3R.
Beliau berpendapat penguatkuasaan undang-undang melindungi 3R ini masih longgar dan tidak jelas sehingga mengundang persoalan orang ramai.
Tanpa menidakkan kepentingan dan kewajaran wujudnya undang-undang itu, beliau hanya mahu kerajaan serius melaksanakan undang-undang itu secara adil dan saksama.
“Jika dahulu kerajaan yang ada sekarang sewaktu menjadi pembangkang galak ingin menghapuskan Akta Hasutan atas dasar menyekat kebebasan bersuara. Namun sekarang mereka mempertahankan akta tersebut berbeza dengan apa yang mereka katakan sebelum ini”, kata beliau kepada Gelombang BERJASA.
Beliau mencadangkan agar kerajaan menubuhkan unit khas bagi mengawal isu 3R (raja, agama dan bangsa) wajar dilaksanakan untuk memastikan ia tidak dimanipulasi oleh mana-mana pihak sehingga menggugat ketenteraman awam.