Bandaraya Ipoh sebelum ini amat berbangga dengan pemandangan berlatarbelakangkan gunung batu kapur Ipoh yang menghijau seterusnya memberikan ketenangan jiwa kepada penduduk Ipoh.
Gunung batu kapur yang terbesar di Lembah Kinta iaitu Gunung Lanno memiliki kira-kira 36 gua batu kapur cantik dan unik yang berpotensi menjadi tarikan perlancongan kepada Perak.
Namun begitu, laporan terkini mengatakan bahawa Gunung Lanno bersama guanya sudah terancam akibat daripada aktiviti perlombongan kuari.
Warisan geologi gunung tersebut iaitu Gua Air yang didakwa satu-satunya gua di Perak yang mempunyai struktur untuk menakung air dan juga mempunyai laluan untuk air mengalir, terjejas apabila letupan dari kuari.
Lagipun bukan sesuatu yang rahsia lagi apabila secara jelas dapat dilihat kerosakan terhadap gunung batu kapur ini jika memandu sepanjang Lebuhraya PLUS akibat aktiviti perlombongan kuari.
Gunung-gunung batu kapur di Ipoh ini walaupun diisytiharkan sebagai kawasan Geopark Lembah Kinta namun kebanyakannya terletak di dalam tanah negeri dan tanah hak milik syarikat melalui pajakan.
Lebih menyedihkan apabila kawasan gunung ini juga dizonkan sebagai kawasan industri dan belum lagi diwartakan sebagai kawasan perlindungan seperti Hutan Simpan Kekal ataupun Taman Negeri.
Hal ini dikhuatiri menjadikan ia kerap terdedah kepada pembangunan dan eksploitasi yang tidak terkawal khususnya untuk aktiviti kuari batu granit dan batu kapur.
Aktiviti perlombongan kuari yang tidak terkawal ini tidak mustahil akan menyebabkan gunung batu kapur di Ipoh akan lenyap terus pada masa akan datang.
Perlombongan Kuari Akan Menjejaskan Kepentingan Gua Batu Kapur Di Ipoh
Perlombongan kuari yang dilakukan terhadap gunung batu kapur di Ipoh bukan sahaja boleh menyebabkan struktur bentuk muka bumi berisiko untuk runtuh dan pencemaran bunyi kepada penduduk sekitar malahan ia turut menjejaskan ekosistem kawasan tersebut.
Gunung batu kapur yang ditarah secara haloba ini akan membawa kehancuran kepada gua batu kapur yang ada pada gunung tersebut.
Gua batu kapur berperanan menjadi tempat tinggal bagi pelbagai spesies flora dan fauna yang unik termasuk kelawar, serangga dan mikroorganisma yang sukar ditemui di tempat lain.
Bukan itu sahaja malahan kawasan batu kapur sering bertindak sebagai takungan air semula jadi dan membekalkan air bersih kepada komuniti setempat.
Air merupakan sumber yang terpenting kepada manusia maka isu ini perlu dipandang secara serius bagi mengelakkan penduduk Ipoh akan terkesan dengan lebih teruk.
Kerajaan negeri Perak dan pihak yang bertanggungjawab perlu sedar bahawa gunung batu kapur terutamanya Gunung Lanno memiliki tujuh buah gunung yang terpanjang di Malaysia.
Malahan gunung ini juga merekodkan pelbagai jenis flora terdapat di setiap 100 meter pendakian di puncak gunung dengan hutan buluh dan orkid hutan ditemui di sana.
Kerajaan negeri diharapkan dapat mengambil langkah untuk memulihara Gunung Lanno dan gunung batu kapur yang lain.
Hal ini tidak bermaksud aktiviti kuari perlu dihentikan kerana ia mungkin memakan kos yang menelan jutaan ringgit untuk membayar ganti rugi kepada syarikat kuari tetapi aktiviti kuari boleh dijalankan di bawah tanah seperti Tasek Corp di Kinta, Hume Cement di Kampar dan Lhoist di Batang Padang
Kaedah ini boleh mengelakkan struktur permukaan gunung batu kapur terus hancur sehingga menjejaskan pemandangan yang menghijau.