Malaysia Catatkan Kadar Kelahiran Yang Rendah

Kadar kelahiran di Malaysia mencatatkan catatan yang rendah dengan kadar pertumbuhan sebanyak 2.1 peratus pada 2023 berbanding 3.6 peratus pada 1970.

Dalam laporan yang sama juga menunjukkan Malaysia telah mengalami fasa penurunan Kadar Kelahiran Kasar (CBR) mulai tahun 1958 iaitu 43.3 kelahiran kepada 12.9 kelahiran pada tahun 2022 bagi setiap 1,000 penduduk.

Malahan, kadar kesuburan jumlah (TFR) sejak lima dekad yang lalu menunjukkan penurunan ketara daripada 4.9 anak kepada 1970 kepada 1.6 anak pada 2022.

Keadaan ini amat merisaukan tatkala Malaysia kini ingin memfokuskan menjadi negara maju namun dilihat bakal berhadapan dengan kekurangan tenaga buruh yang terdiri daripada kalangan orang muda.

Fenomena ini mempunyai pelbagai punca yang berkait rapat dengan perubahan sosial, ekonomi, budaya, dan gaya hidup.

Punca Kepada Kadar Kelahiran Yang Rendah

Antara punca kepada kadar kelahiran yang rendah di Malaysia iailah disebabkan oleh peningkatan kos sara hidup yang sentiasa berlaku saban tahun.

Semakin ramai rakyat Malaysia memilih untuk berkahwin pada usia yang lebih lewat berbanding generasi sebelumnya.

Hal ini disebabkan oleh peningkatan keutamaan terhadap pendidikan dan kerjaya yang membawa kepada penangguhan usia perkahwinan.

Apabila usia perkahwinan ditangguhkan, usia ibu untuk melahirkan anak juga meningkat yang secara tidak langsung mengurangkan jumlah anak yang mungkin dilahirkan sepanjang hayat akibat tempoh subur yang sudah tamat.

Nilai dan pandangan terhadap keluarga dan perkahwinan telah berubah.

Pasangan muda kini lebih cenderung untuk menumpukan perhatian kepada pencapaian peribadi, kerjaya, dan kestabilan kewangan sebelum memulakan keluarga.

Bukan itu sahaja malahan kenaikan kos perumahan, pendidikan, makanan, dan penjagaan anak telah meletakkan tekanan kewangan yang besar kepada pasangan muda.

Ramai yang merasakan bahawa mereka tidak mampu menanggung kos membesarkan ramai anak dengan gaya hidup yang diinginkan.

Setelah meneliti beberapa faktor yang lain juga, hal ini tetap menjurus kepada masalah ekonomi dan kewangan yang menekan mereka untuk tidak berkahwin.

Jika ada yang berkahwin sekalipun, mereka lebih cenderung untuk memilih keluarga yang kecil sahaja iaitu ingin memiliki seorang anak ataupun dua orang anak sahaja.

Generasi sekarang lebih mudah berasa tertekan seperti tekanan kerja atau kewangan yang menyebabkan terhalangnya perancangan mereka untuk memiliki keluarga yang besar.

Apakah Solusi Kepada Isu Kadar Kelahiran Rendah Di Malaysia Ini?

Pelbagai strategi perlu dirancang dan dilaksanakan secara holistik bagi menangani penurunan kadar kelahiran di Malaysia ini.

Solusi terbaik bukan sahaja melibatkan insentif kewangan, tetapi juga perubahan dalam dasar sosial, persekitaran pekerjaan, dan sokongan terhadap keluarga muda.

Kerajaan dicadangkan untuk memperkenalkan elaun kelahiran untuk setiap anak yang dilahirkan, terutama untuk anak kedua dan seterusnya.

Keadaan ini boleh membantu meringankan beban kewangan yang berkaitan dengan kelahiran anak seperti mana yang telah dilakukan oleh kerajaan terdahulu di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Razak yang memperkenalkan insentif ADAM50 untuk setiap kelahiran bayi bagi satu keluarga namun ditamatkan pada 2018.

Selain itu, kerajaan juga boleh menggalakkan syarikat-syarikat untuk menawarkan waktu kerja yang fleksibel atau opsyen kerja dari rumah kepada ibu bapa. Ini boleh membantu mereka mengimbangi antara kerja dan tanggungjawab keluarga.

Di pihak industri ataupun majikan pula, syarikat boleh menyediakan kemudahan penjagaan anak di tempat kerja atau menyediakan subsidi penjagaan anak untuk pekerja.

Bukan itu sahaja malahan kerajaan boleh mengambil inisiatif dengan menggalakkan syarikat-syarikat besar untuk terlibat dalam program tanggungjawab sosial korporat yang menyokong keluarga dan keibubapaan seperti menyediakan perkhidmatan penjagaan anak atau sokongan kewangan kepada pekerja yang mempunyai anak.

Meningkatkan kadar kelahiran di Malaysia memerlukan pendekatan yang komprehensif dan bersepadu yang melibatkan pelbagai sektor, termasuk kerajaan, majikan, dan masyarakat.

Oleh hal yang demikian, solusi terbaik adalah yang menggabungkan insentif kewangan, sokongan terhadap keluarga di tempat kerja, penyediaan perkhidmatan penjagaan anak yang berkualiti, promosi kesetaraan gender, dan peningkatan kesedaran tentang kepentingan keluarga.

Dengan melaksanakan langkah-langkah ini, Malaysia boleh mencipta persekitaran yang kondusif untuk keluarga dan menggalakkan pasangan muda untuk mempunyai lebih ramai anak, sekaligus membantu menstabilkan kadar kelahiran dan memastikan keseimbangan demografi negara di masa hadapan.

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Malaysia Menuju Negara Tua Menjelang 2030

Next Post

Cukai GST: Perlukah Diperkenalkan Semula Di Malaysia?

Related Posts