BANGI – Himpunan Pembebasan Palestin yang berlangsung pada Ahad yang lepas telah berjaya mengumpulkan kira-kira 12,000 orang.
Himpunan tersebut diadakan bagi menyatakan solidariti dan bantahan kepada rejim Zionis di atas pembunuhan pemimpin tertinggi Hamas, Ismail Haniyeh di Iran pada akhir Julai yang lalu.
Presiden BERJASA Zamani Ibrahim menyatakan sokongan kepada kerajaan di atas penganjuran Himpunan Pembebasan Palestin tersebut. Hal ini dilihat bersesuaian dengan imej Malaysia yang sentiasa konsisten dalam memperjuangkan nasib rakyat Palestin di peringkat antarabangsa.
Namun begitu, timbul kekecewaan pada beliau apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat langsung tidak bijak mengambil peluang ketika berucap di hadapan ribuan peserta.
Beliau berpendapat waktu berucap tersebut merupakan waktu yang sesuai untuk kerajaan menyatakan sokongan yang jelas mewakili prinsip kerajaan Malaysia terhadap konflik Israel-Palestin.
“Saya sudah mendengar ucapan penuh Datuk Seri Anwar Ibrahim di atas pentas Himpunan Pembebasan Palestin baru-baru ini. Beliau telah menyebut sebelas isi dalam ucapan itu.
“Saya ingin berterima kasih kepada kerajaan atas penganjuran himpunan ini namun Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat banyak menghabiskan masa dengan bercakap mengenai isi yang sebenarnya saya lihat sebagai satu persepsi sahaja.
“Beliau boleh menyentuh tiga isi sewaktu berucap yang bukan sahaja boleh menjimatkan masa namun ia lebih menggambarkan pendirian kerajaan dalam isu ini. Saya pasti tiga isi ini akan mendapat jutaan sokongan daripada seluruh dunia jika beliau mengucapkannya”, tegas beliau.
Menerangkan secara lanjut mengenai tiga isi ucapan yang sepatutnya diucapkan oleh Perdana Menteri itu, beliau menjelaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim sepatutnya berani berkata kerajaan tidak akan teragak-agak akan membatalkan penjualan 25% saham MAHB kepada BlackRock.
Selain itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga boleh mewakili kerajaan dengan membawa isu Palestin ini ke dalam Parlimen bagi menyatakan sokongan penuh kepada perjuangan kemerdekaan Palestin secara penuh.
“Dengan ini juga maka beliau juga boleh mengeluarkan kenyataan rasmi mewakili kerajaan Malaysia dengan menyatakan sokongan kepada perjuangan Hamas sebagai badan pentadbir yang sah di Palestin”, katanya.
Sebelum ini, pendirian Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam isu Palestin sering dipersoalkan kerana dilihat sering memposisikan diri dalam keadaan ‘selamat’ dan mengalu-alukan BlackRock, syarikat untuk melabur di Malaysia.