Bangi – Kenyataan daripada Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim yang membela Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P. Ramasamy susulan mengkritik sektor perkhidmatan awam adalah bersifat canggung dan tidak berasas.
Naib Presiden BERJASA, Afif Badhrulhisham menegaskan bahawa kerajaan sentiasa membuka peluang kepada semua bangsa untuk menjadi penjawat awam namun faktor tarikan minat menyebabkan sektor ini ramai dibarisi oleh golongan Bumiputera.
Beliau mempersoalkan kenyataan P. Ramasamy yang ingin mengusulkan agar kerajaan melakukan reformasi dalam pengambilan sektor perkhidmatan awam.
Jika reformasi tersebut hanya ingin memfokuskan dalam pengambilan perkhidmatan awam, ianya tidak mempunyai tujuan dan rangka yang jelas sama sekali.
Tambah beliau lagi, jika benar P.Ramasamy dan Hassan Karim ikhlas dalam memperjuangkan keadilan kepada semua kaum, tidak sepatutnya mereka mengeluarkan kenyataan yang berbaur sentimen kerana ia membawa bunyi yang negatif.
Lebih baik mereka memberikan galakan dan dorongan kepada golongan bukan Bumiputera untuk mengisi penjawatan di dalam perkhidmatan awam. Sekurang-kurangnya ia dapat memberikan pencerahan kepada golongan ini bahawa mereka terbuka untuk menyertai sektor perkhidmatan awam tanpa sebarang halangan.
Di akhir kenyataan beliau, jika benar P. Ramasamy dan Hassan Karim tetap berpendirian sebegitu maka sepatutnya mereka memikirkan apakah mudaratnya kesan daripada ‘pemonopolian’ orang Melayu di dalam sektor awam.
Jika tiada, sepatutnya mereka membantu kerajaan dalam berhadapan dengan kemelesetan ekonomi kini memandangkan parti mereka berdua sudah pun termasuk di dalam komponen kerajaan.