PUTRAJAYA – Hanya tinggal dua bulan sahaja lagi untuk Belanjawan 2025 dibentangkan pada Oktober nanti dan kerajaan sudah pun melaungkan komitmen untuk menangani isu kos sara hidup yang semakin meningkat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sedar mengenai keresahan rakyat yang terbeban dengan kenaikan harga barang dan beliau sedar menjadi satu tanggungjawab untuk kerajaan mencari jalan penyelesaian kepada masalah tersebut.
Bukan itu sahaja malahan beliau juga dalam ucapannya komited untuk menangani masalah kartel yang menjadi punca terbesar kepada masalah monopoli dan kenaikan harga barang di pasaran.
Kerajaan dilihat serius ingin mengatasi masalah ini walaupun masalah ini berlaku setiap tahun. Hal ini tidak menghairankan kerana ekonomi itu sendiri bersifat dinamik namun semestinya rakyat mengharapkan kerajaan melakukan sesuatu.
Namun demikian, selaras dengan dunia politik negara kita yang ingin memperkasakan golongan pengundi yang berumur 18 tahun maka sewajarnya pendapat dan harapan anak muda tidak dipinggirkan oleh kerajaan.
Oleh hal yang demikian, penulis melihat terdapat beberapa idea yang boleh diketengahkan oleh kerajaan dalam menyambut harapan anak muda untuk Belanjawan 2025 ini.
Pendidikan dan Latihan – Kerajaan boleh memperuntukan bajet untuk pembiayaan tambahan kepada pendidikan tinggi, program latihan vokasional dan kemahiran digital. Hal ini termasuk biasiswa, pinjaman pendidikan yang lebih mudah diakses dan inisiatif untuk meningkatkan kualiti pendidikan.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini pernah menyatakan komitmen kerajaan untuk memperkasakan bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dengan ingin menghantar pelajar daripada Malaysia mempelajari bidang TVET di China.
Insentif Untuk Usahawan Muda – Belanjawan 2025 boleh diperuntukan sebahagian bajetnya untuk memberikan insentif kepada usahawan muda melalui pemberian geran, pinjaman mikro dan program bimbingan. Inisiatif ini dapat membantu mereka memulakan dan mengembangkan perniagaan mereka.
Fokus inisiatif ini boleh disalurkan kepada usahawan muda yang menceburi bidang pertanian dan penternakan di kala negara berhadapan dengan isu bekalan makanan yang agak kritikal. Bukan itu sahaja malahan usahawan kini juga sudah rancak menceburi bidang pendigitalan dan ‘artifical intellegence‘ (AI) maka kumpulan usahawan ini selayaknya diberikan fokus oleh kerajaan.
Perumahan Mampu Milik – Isu harga rumah yang makin meningkat sering menjadi isu tahunan yang tidak pernah selesai. Sumber terbaru ada mengatakan purata harga jualan rumah baharu pada suku pertama tahun ini adalah RM582,887, manakala purata harga jualan rumah terpakai atau ‘subsale’ adalah RM521,614, demikian menurut Juwai IQI.
Oleh hal yang demikian, kerajaan sepatutnya memfokuskan perumahan mampu milik untuk golongan muda termasuk insentif untuk pembelian rumah rumah dan skim sewa beli.
Dengan perhatian yang mencukupi dalam belanjawan ini, diharapkan golongan muda akan mendapat manfaat yang lebih besar dan dapat menyumbang dengan lebih efektif kepada pembangunan negara.