Lambakan barangan buatan China ke negara-negara jiran seperti Thailand dan Indonesia telah mencetuskan kebimbangan kepada peniaga tempatan di sana dan kini produk Malaysia sudah pun merasai kesan lambakan tersebut di Malaysia.
Hal ini dapat dilihat apabila semakin banyak barangan dibawa masuk daripada China ke Malaysia dan dijual dengan harga yang begitu murah.
Contohnya, banyak produk China di platform media sosial seperti Tik Tok dijual dengan harga yang begitu murah sehinggakan harga yang ditawarkan oleh peniaga tempatan tidak mampu bersaing dengan harga mereka.
Bukan sahaja di Tik Tok malahan di platfom e-dagang yang baharu iaitu Temu juga menawarkan harga yang begitu murah kepada pembeli tempatan.
Itu baharu melibatkan platform e-dagang. Kini China sudah pun mula membawa masuk produk fizikalnya iaitu Mixue yang popular dengan produk aiskrim dan airnya.
Rata-rata produk aiskrim dan air yang dijual oleh Mixue berharga RM1 sehingga RM4 sahaja dan harga ini amat murah jika dibandingkan dengan kedai lain seperti Tealive, Chatime dan Mokti yang ketiga-tiganya merupakan jenama tempatan.
Mixue kini semakin mendapat tempat di hati pembeli tempatan sehinggakan Mixue semakin pantas membuka 300 outlet dalam masa yang singkat di Malaysia.
Bagus Untuk Pengguna Tempatan Tetapi Tidak Untuk Produk Malaysia
Penawaran harga yang murah ini dilihat mungkin memberi kelebihan kepada pembeli tempatan untuk mendapatkan produk yang sedap dan berkualiti seperti Mixue.
Namun begitu, usahawan ataupun peniaga tempatan akan merasai kesannya yang besar kerana mereka tidak mampu untuk bersaing dengan jenama daripada China ini.
Tealive, Chatime dan Mokti tidak mampu menjual aiskrim dengan harga RM1 kepada pembeli seperti mana yang ditawarkan oleh Mixue.
Hal ini tidak mustahil akan menyebabkan peniaga tempatan mengelami penurunan jualan dan keuntungan yang merosot.
Produk China yang lebih murah menarik minat pengguna yang lebih cenderung memilih barangan dengan harga lebih rendah menyebabkan menyebabkan peniaga tempatan menghadapi penurunan permintaan dan jualan terutamanya jika mereka menawarkan produk yang serupa dengan harga yang lebih tinggi.
Keadaan ini akan memaksa mereka menurunkan harga untuk bersaing yang seterusnya mengurangkan margin keuntungan sehingga menjejaskan keupayaan perniagaan mereka untuk berkembang.
Selain itu, peniaga tempatan terpaksa mengambil langkah dengan mengurangkan tenaga kerja yang akhirnya akan meningkatkan kadar pengangguran dalam kalangan rakyat Malaysia
Dalam kes yang lebih ekstrem, peniaga tempatan yang tidak mampu menyesuaikan diri mungkin terpaksa menutup perniagaan mereka.
Ketidakmampuan untuk menampung kos operasi apabila berhadapan dengan saingan harga yang agresif boleh menyebabkan perniagaan tidak lagi berdaya saing.
Kerajaan Patut Kuatkuasakan Dasar Perlindungan Ekonomi
Kerajaan sepatutnya sudah boleh mengambil langkah ataupun inisiatif dalam memastikan perkara ini mampu dikawal sehingga tidak menjejaskan ekosistem perniagaan tempatan.
Seperti mana langkah yang diambil oleh kerajaan Thailand dan Indonesia, kerajaan boleh mengambil tindakan yang sama seperti kedua-dua negara jiran ini.
Thailand melalui pihak berkuasa di Bangkok mula mengambil tindakan terhadap restoran milik warga China yang melanggar peraturan tempatan, berikutan aduan bahawa rakyat tempatan kerap bertindak sebagai ejen untuk menutupi perniagaan haram dimiliki orang asing.
Sementara di Indonesia, pihak berkuasa terpaksa mengambil langkah melindungi peniaga tempatan yang berdepan saingan sengit akibat kebanjiran produk China.
Tahun lalu, Indonesia mengharamkan perniagaan dalam talian di platform media sosial termasuk TikTok, mengambil kira kepentingan melindungi perniagaan kecil tempatan.
Ia juga bakal memperkenalkan cukai sehingga 200% ke atas barangan seperti kasut, pakaian, kosmetik dan pinggan mangkuk yang diimport.
Langkah yang serupa juga boleh diambil oleh kerajaan dengan menggunakan dasar perlindungan ekonomi untuk menjaga kelangsungan perniagaan milik peniaga tempatan.
Kerajaan boleh memperkenalkan dasar perlindungan tarif dan cukai dengan mengenakan cukai antidumping kepada produk daripada China.
Cukai antidumping ini akan dikenakan kepada produk China jika produk ini dijual dengan harga di bawah kos pengeluaran (dumping).
Kerajaan boleh mengenakan duti antidumping bagi melindungi industri tempatan daripada persaingan tidak adil.
Kempen Beli Barangan Malaysia juga boleh dirancakkan semula oleh kerajaan untuk menggalakkan pengguna memilih produk tempatan seterusnya dapat meningkatkan kesedaran tentang kualiti dan kelebihan produk buatan tempatan.
Keadaan yang berlaku sekarang ini mungkin hanya memberikan kesan jangka masa pendek sahaja namun ia akan memberikan kesan jangka masa panjang kepada rakyat mahupun peniaga tempatan jika situasi ini tidak dicegah daripada awal.
Selepas ini akan lebih ramai peniaga China menguasai pasaran produk di Malaysia dan mula mengambil peluang menjualnya dengan harga yang lebih mahal setelah berjaya menguasai pasaran.