BANGI – Status kuasa besar dunia sebenarnya berpotensi untuk dikecapi oleh Malaysia jika kerajaan bijak memanfaatkan sumber nadir bumi (REE) yang ada di Malaysia. Nilai keseluruhan untuk sumber nadir bumi yang ada di Malaysia sekarang bernilai RM1 trillion maka status sebagai negara kuasa besar dunia ini tidak mustahil untuk dikecapi.
Dengan nilai keseluruhan bernilai RM1 trillion itu, Malaysia telah menduduki tempat ketiga dalam kalangan negara pengeluar REE terbesar dunia. Namun demikian, kekayaan yang dimiliki oleh Malaysia ini tidak dimanfaatkan peluangnya dengan bijak oleh kerajaan yang seakan tidak serius untuk membangunkan industri ini.
Presiden BERJASA, Zamani Ibrahim melihat ini sebagai satu perkara yang begitu pincang oleh kerajaan yang gagal membawanya dalam kerangka yang besar. Kerajaan tidak mampu melihat sumber REE ini sebagai satu kuasa nasional seperti yang ditetapkan oleh BERJASA dalam kerangka idea yang dinamakan sebagai Impian Nasional.
“Kedah mempunyai sumber REE sebanyak RM60 billion, Negeri Sembilan dengan RM30 billion, Pulau Pinang RM100 billion dan Selangor pula adalah sebanyak RM286 billion. Itu tidak termasuk lagi dengan nilai REE yang ada di Terengganu, Kelantan dan Perak. Nilai ini jika digabungkan meliputi keseluruhan negeri maka ia mencapai nilai sebanyak RM1 trillion”.
“Namun apa yang dilakukan oleh kerajaan sekarang ini amat mengecewakan sama sekali kerana kerajaan lebih berminat untuk menyerahkan projek melombong sumber REE kepada syarikat luar seperti China. Maka kerajaan hanya mengambil komisyen dalam bentuk beberapa peratus sahaja daripada syarikat luar itu”, ulas beliau.
Tambah beliau lagi, Malaysia sepatutnya sudah boleh membina satu model syarikat yang mempunyai autoriti menguruskan sumber REE di negara sendiri. Hal ini dapat mengelakkan syarikat luar terus mengaut keuntungan tanpa mendatangkan faedah kepada negara.
“Kita pernah membuktikan kejayaan kepada dunia dengan menubuhkan PETRONAS sebagai syarikat cari gali minyak negara hingga menempa nama yang hebat di peringkat antarabangsa. Sepatutnya kita ada model syarikat yang sama seperti PETRONAS dalam mencari gali sumber REE”.
“Apatah lagi kita sebenarnya mempunyai tenaga kepakaran seramai 26 orang dalam industri ini. Kita boleh meminta mereka untuk menjadi penasihat dan mendapatkan kepakaran mereka”, tegas beliau.
Terdahulu, industri nadir bumi Malaysia dijangka menyumbang RM9.5 bilion (AS$2.03 bilion) kepada keluaran dalam negara kasar pada 2025, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.