Apa Langkah Kerajaan Untuk Sekat Syarikat israel Ke Malaysia?

syarikat israel

KUALA LUMPUR – Tular baru-baru ini mengenai kehadiran syarikat pertahanan global yang membekalkan senjata kepada Israel iaitu Lockheed Martin, MBDA (BAE Systems), Aim Point, Colt, L3Harris, Leupold, Shield AI dan Leonardo dalam Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan Asia 2024 (Natsec) telah menimbulkan persoalan ramai pihak. Hal ini kerana sebuah syarikat yang mempunyai hubungan dengan Israel secara mudah dibenarkan masuk ke Malaysia tanpa halangan.

Sebuah gabungan badan-badan tempatan yang menyokong perjuangan Palestin iaitu Sekretariat Solidariti Palestin (SSP) menggesa Putrajaya untuk memberikan penjelasan mengenai isu ini kepada rakyat.

SPP mempersoalkan bagaimana sebuah negara yang lantang dan bersetia kawan bersama Palestin boleh membenarkan syarikat-syarikat ini masuk dan dengan bangga menayangkan produk persenjataan mereka. Sedangkan senjata milik mereka inilah yang digunakan untuk jenayah perang dan melakukan genosida terhadap rakyat yang tidak bersalah.

Lockheed Martin dalam sumber laman web rasminya berkata ia “bangga” dalam peranannya mempertahankan keselamatan Israel.

“Pesawat C-130 dan F-16 kami telah berkhidmat dengan setia untuk tentera udara Israel sejak 1970-an dan 1980-an, dan apabila Surat Perjanjian ditandatangani pada Oktober 2010, Israel menjadi negara pertama memilih F-35 melalui proses Jualan Ketentaraan Asing kerajaan AS,” kata syarikat itu.

Pesawat F-16 dan F-35 buatan Lockheed antara yang digunakan Israel untuk mengebom Gaza, manakala pesawat C-130 Hercules untuk melakukan serangan darat.

Sebelum ini juga ada laporan berita tempatan yang mengatakan sebuah kapal kargo milik syarikat Israel berlabuh di Pelabuhan Klang walaupun sebelum ini Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan pengharaman ke atas semua kapal berasal dari negara Zionis itu daripada menggunakan kemudahan pelabuhan tempatan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohammed Khaled Nordin berkata sebagai sebuah negara perdagangan bebas, Malaysia memberi ruang kepada semua pemain industri global untuk memasarkan produk dan perkhidmatan mereka di negara ini.

Oleh hal yang demikian, kerajaan mengambil pendekatan untuk tidak campur tangan dalam urusan perniagaan mana-mana syarikat global dengan mana-mana negara tertentu.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Datuk Seri Mohammed Khaled Nordin seakan-akan bersikap lepas tangan sahaja dalam soal penglibatan syarikat yang pro-Israel.

Agak terhina rasanya apabila sebuah syarikat yang membekalkan senjata untuk membunuh rakyat Palestin dapat menayangkan senjata tersebut dengan megah di Malaysia.

Semua pihak wajar mempersoalkan mengenai ketegasan kerajaan untuk menghalang mana-mana syarikat yang mempunyai hubungan secara langsung dengan Israel daripada menjalankan perniagaan di Malaysia.

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post
subsidi petrol

Subsidi Petrol: Jangan Tergesa-Gesa, Perhalusi Impaknya Dahulu

Next Post
tanah sawah

Tanah Sawah Kepada Komersial, Jejas Keselamatan Makanan Negara

Related Posts