SHAH ALAM – Hari Wanita Sedunia 2024 sepatutnya menyedarkan wanita adalah tulang belakang dalam pembangunan tamadun manusia. Rosak wanita, rosaklah sesebuah tamadun. Hari Wanita Sedunia 2024 diharapkan mampu dihayati oleh semua wanita bahawa mereka amat penting dalam sesebuah peradaban dan tamadun.
Ketua Pemudi BERJASA, Nor Azliza Rajiain berkata isu-isu yang berkait dengan kesihatan mental, keganasan rumah tangga, pengkhianatan serta serta masalah rumah tangga membelenggu golongan wanita sejak kebelakangan ini.
Hal ini belum ditambah lagi dengan ujian kos sara hidup yang tinggi serta perbelanjaan yang semakin meningkat. Ada dikalangan ibu tunggal, wanita bujang yang menanggung keluarga malah ibu-ibu yang menjadi ketua keluarga sanggup melakukan dua, tiga pekerjaan demi kelangsungan hidup insan tersayang.
“Walaupun dibadai dengan pelbagai masalah dan ujian, para wanita yang istimewa ini terus bangkit meredah segala halangan di hadapan berbekalkan kekuatan dan ketabahan mereka. Namun begitu, kebajikan golongan ini sama ada dari sudut sokongan fizikal dan emosi perlu diberi perhatian oleh semua pihak”.
“Dasar Wanita Negara perlu diperkasakan dari sudut perlaksanaannya. Inisiatif untuk wanita bangkit mandiri juga perlu diperluaskan capaian dan golongan sasaran”, tegas beliau.
Tambah beliau, Pemudi BERJASA yakin golongan wanita ini adalah tiang seri dalam membangun semula peradaban serta menjadikan Malaysia sebuah negara yang unggul dan bermaruah.