BANGI – Perbincangan mengenai penarikan subsidi petrol dan diesel ada dibuat oleh kerajaan namun belum memuktamadkannya di peringkat Kabinet lagi. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan masih belum ada keputusan muktamad tarikh pelaksanaan penarikan subsidi dan petrol ini kerana kaedah ini perlu diterangkan terlebih dahulu agar tidak membebankan rakyat.
Sebelum ini juga beliau berkata bahawa penetapan langkah bagi diesel dan RON95 tidak mudah dan agak kompleks maka kerajaan sedang mempertimbangkan beberapa kertas kerja dan cadangan berhubung mekanisme berkenaan.
Langkah dan tindakan yang ingin diambil oleh kerajaan untuk melihat mekanisme ini secara mendalam dahulu memang sepatutnya dilakukan kerana pengimplementasian secara mengejut akan mendatangkan impak yang besar kepada rakyat.
Pakar ekonomi, Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai berkata pengurangan subsidi bahan api mungkin akan mewujudkan kesan negatif lain sekiranya ia dilaksanakan terutama kenaikan harga barang.
Beliau berpendapat peniaga akan mengambil kesempatan terhadap sistem pasaran bebas dengan memberikan alasan kos operasi meningkat yang tidak dapat dielak.
Jelas Barjoyai, kenaikan harga barang akan memberi kesan terhadap peningkatan kadar inflasi yang memberi impak negatif kepada pembangunan ekonomi negara.
“Harga barang naik ini macam-macam antaranya sebab kos pengangkutan naik, barang bekalan itu sendiri dinaikkan oleh pembekal kalau ini berlaku kadar inflasi akan meningkat, kadar hari ini bagus dalam 1.6 peratus, kalau meningkat kita akan menghadapi masalah kerana akan ada kesan berganda,” jelasnya.
Bagaimanapun, penganalisis ekonomi itu berkata, kajian berkenaan pengurangan subsidi telah dijalankan berbelas tahun namun ia bergantung kepada masa yang tepat untuk melaksanakannya.
Terdahulu, media asing melaporkan Malaysia akan mengurangkan subsidi bahan api menjelang Jun ini.
Walaupun media terbabit melaporkan harga diesel akan diapung pada kadar pasaran dalam tempoh beberapa minggu selepas Pilihan Raya Kecil Kuala Kubu Bharu dan disusuli dengan kenaikan berperingkat petrol dalam kadar runcit namun ia dinafikan oleh Perdana Menteri.