ALOR SETAR – Tuntutan kerajaan negeri Kedah untuk menukar status tanah sawah menjadi tanah komersial perlu diteliti semula. Hal ini demikian kerana Malaysia kini mengalami krisis kekurangan bekalan beras yang kritikal maka amat tidak wajar untuk terus meneruskan langkah ini demi kelangsungan keselamatan makanan negara.
Perkara ini ditegaskan oleh Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Datuk Dr Ismail Salleh yang mengatakan penukaran status tanah padi yang memiliki anggaran 10 peratus hasil pengeluaran padi setahun untuk 10,000 hektar tanah akan mengurangkan hasil padi negara.
Tegas beliau, MADA membekalkan sebanyak 40 peratus keperluan padi dan beras negara dan dalam masa yang sama juga kerajaan akan membelanjakan lebih RM5 billion untuk projek tanaman padi lima kali dua musim di kawasan MADA.
““Kita akan kehilangan hasil lima tan yang jika didarabkan dengan keluasan 10,000 hektar akan menyebabkan kehilangan 100,000 tan metrik untuk dua musim atau dalam setahun,” katanya dalam kenyataan akhbar, di sini pada Selasa.
Pada Sabtu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan bersedia meluluskan penukaran status tanah MADA kepada pembangunan komersial sebagai salah satu inisiatif membantu meningkatkan pendapatan Kedah yang memainkan peranan besar dalam keselamatan makanan negara.
Anwar memaklumkan, Muhammad Sanusi membuat permintaan itu untuk meningkatkan pendapatan Kedah yang bergantung kepada hasil pertanian sebelum ini.
Sementara itu, Muhammad Sanusi kemudian menjelaskan, kerajaan negeri kehilangan peluang pendapatan kira-kira RM100 juta setahun di kawasan tanah sawah bawah MADA yang boleh dibangunkan untuk tujuan industri, komersial dan perumahan.
Menurutnya, kira-kira 10,000 hektar tanah sawah MADA dimasukkan di bawah Rancangan Tempatan Daerah (RTD) untuk pembangunan perumahan, 400 hektar untuk tujuan industri dan beberapa hektar lagi untuk komersial.
Ismail menambah, tuntutan Menteri Besar itu relevan kerana Kedah telah menangguhkan pembangunan negerinya yang selama ini dirancang terutamanya sebahagian sawah dalam kawasan MADA. Namun demikian, polisi kerajaan untuk menjadikan makanan sebagai bahan keselamatan negara perlu dikekalkan.
Beliau mencadangkan agar tuntutan Menteri Besar itu digantikan dengan alternatif lain seperti menuntut bayaran kredit karbon bagi pengekalan kawasan sawah dan hutan negeri.
“Sebelum itu, wartakan dahulu kesemua lebih 100,000 hektar kawasan penanaman MADA dan luluskan segera kawasan MADA Plus dan luar MADA. Selepas pewartaan itu Kerajaan Persekutuan bantu negeri untuk dapatkan bayaran kredit karbon,” katanya.