Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin telah mengeluarkan satu kenyataan yang mengelirukan di Parlimen apabila mengulas mengenai isu Palestin-Israel baru-baru ini. Kenyataan yang diucapkan oleh beliau berbunyi “Kita hanya akan mengiktiraf Israel sekiranya Israel….” jelas menimbulkan rasa kurang senang bekas Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah yang menyifatkan kenyataan Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin yang dibuat pada 11 Mac lalu ketika sesi penggulungan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja, sebagai mengelirukan Dewan.
Jelas beliau, boleh menjejaskan hubungan diplomatik antara Malaysia dan Palestin, jika ia tidak ditarik semula dan diperbetulkan. Hal ini ditambah dengan konsistensi yang dibuat oleh Malaysia dalam memperjuangkan isu kedaulatan Palestin maka kenyataan itu tidak wajar dinyatakan oleh seorang menteri.
Persoalan mula timbul adakah wujud satu usaha oleh kerajaan Malaysia untuk mula secara perlahan-lahan mengiktiraf Israel seperti mana yang dibuat oleh negara Arab yang lain seperti Arab Saudi, Oman, UAE dan Bahrain. Usaha menormalisasi hubungan antara negara Arab dengan Israel makin kuat direncanakan bermula daripada pemerintahan bekas presiden AS, Donald Trump hingga digantikan oleh Joe Biden.
Israel pasti akan cuba menyasarkan beberapa negara majoriti Muslim yang lain untuk membina hubungan yang sah seperti yang dilakukan mereka terhadap negara Arab lain. Kerajaan seharusnya berwaspada dalam mengeluarkan sebarang kenyataan yang melibatkan isu Palestin-Israel kerana ia melibatkan isu umat Islam global.
Dasar luar Malaysia kekal bahawa Malaysia tidak mengiktiraf kewujudan entiti haram Israel. Israel kekal sebagai sebuah entiti haram yang dibina di atas tanah yang dijajah dengan kejam.
Datuk Mohamad Alamin sepatutnya meminta maaf dia atas keterlanjuran kata-kata beliau yang jelas mengelirukan dewan Parlimen dan bercanggah dengan prinsip dasar luar Malaysia sekian lama terhadap Israel.
Terdahulu, pada 11 Mac lalu, Mohamad dilapor menyebut:
“Kita tidak akan mengiktiraf Israel. Kita hanya akan mengiktiraf Israel sekiranya Israel ini― apa? Sekiranya mereka mengakhiri kekejaman mereka dan kita akan dapat melihat berakhirnya pendudukan Israel di wilayah yang diduduki secara haram. Kemudian, penubuhan negara Palestin yang merdeka berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara. Ini adalah syarat utama yang diberikan oleh Palestin dan seluruh masyarakat antarabangsa. Kalau ini dapat dipenuhi oleh Israel, maka mungkin kita akan dapat mengiktiraf serba sedikit tentang peranan Israel di bumi ini.”