Ubah Status Tanah Rizab Melayu Kepada Bukan Melayu, Bekas Exco Perak Dipanggil SPRM

tanah rizab Melayu

PETALING JAYA – Berikutan dakwaan berlakunya tindakan mengubah status tanah rizab Melayu kepada bukan rizab Melayu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memanggil beberapa bukas exco Perak untuk menjalankan siasatan. Hal ini berikutan dengan penahanan seorang pengarah urusan sebuah syarikat hartanah yang ditahan reman oleh SPRM pada Mei yang lepas berikutan kes mengubah status tanah rizab Melayu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata, saksi-saksi lain yang akan turut dipanggil termasuklah kakitangan kerajaan yang ketika itu bertugas di Pejabat Tanah dan Galian (PTG), lapor Free Malaysia Today (FMT).

“Ini termasuklah juga minit mesyuarat berkaitan yang mana dibawa untuk kelulusan exco (mesyuarat exco ketika itu).

“Jadi exco ketika itu akan dipanggil untuk memberi keterangan dan membantu siasatan,” katanya kepada pemberita selepas satu majlis di Universiti Teknologi Petronas (UTP) di Tronoh, Perak.

Azam berkata, setakat ini belum ada pendakwaan baharu dilakukan dan siasatan kes terbabit masih lagi berjalan.

“Sekarang siasatan berada di peringkat kedua selepas kita membuat pendakwaan ke atas seorang pegawai PTG sebelum ini,” katanya.

Pada 30 April lalu, seorang bekas timbalan pendaftar hakmilik PTG Perak didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh atas tuduhan menipu status tanah rizab Melayu seluas 649.2 hektar di Sitiawan, Manjung, 12 tahun lalu.

Rosli Che Mohamed, 64, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas tuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ibrahim Osman.

Dalam pada itu, Azam juga menafikan pembebasan seorang pengarah urusan sebuah syarikat hartanah yang ditahan reman sebelum ini memberi maksud bahawa siasatan terhadap individu tersebut telah selesai.

“Dia dibebaskan kerana telah tamat tempoh reman yang diberikan majistret, bukan bermakna siasatan telah selesai,” katanya.

Pengarah urusan berusia 44 tahun itu sebelum ini direman empat hari selepas disyaki memberi rasuah pegawai kerajaan berkait tanah rizab Melayu seluas kira-kira 650 hektar yang ditukar status kepada bukan rizab Melayu.

Tanah itu kemudian dipindah milik kepada 317 individu serta syarikat bukan bumiputera di mukim Sitiawan, Manjung.

Sebelum ini, Presiden BERJASA Zamani Ibrahim pernah mencadangkan kepada kerajaan untuk mewakafkan tanah rizab Melayu mengikut kadar yang telah sedia ada ditetapkan agar tidak terjual dan jatuh di tangan pihak lain.

SUMBER – Free Malaysia Today

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post
program mohon kewarganegaraan

BERJASA Bantah Program Permohonan Kewarganegaraan Anjuran ADUN DAP

Next Post
sekolah vernakular

Wujud Gerakan & Naratif Naikkan Imej Sekolah Vernakular Cina

Related Posts