Malaysia sudah hampir 67 tahun merdeka namun masih lagi bernostalgia dengan nama-nama British iaitu penjajah dahulu di sebahagian kawasan dan tempat. Lebih menyedihkan apabila nama-nama kawasan ini langsung diusahakan oleh kerajaan untuk diubah kepada nama tempatan yang lebih menampakkan identiti Malaysia.
Baru-baru ini juga PAS Pulau Pinang melalui Ketua Penerangan PAS Pulau Pinang Muhammad Fawwaz Jna berkata, nama asal sesuatu tempat yang melambangkan identiti negara wajib diketengahkan, bukan ‘identiti yang diberikan penjajah’.
Hal ini membuatkan PAS Pulau Pinang melakukan satu tindakan dengan menggesa kerajaan negeri agar mengembalikan nama asal George Town, iaitu Tanjung Penaga.
Cadangan ini sepatutnya dipuji memandangkan Malaysia sudah pun lama bebas daripada cengkaman British maka sewajarnya nama yang berunsurkan Inggeris dipadamkan dan digantikan terus dengan nama bahasa Melayu.
Selain daripada usaha mengembalikan kembali nama George Town kepada Tanjong Penaga, banyak lagi tempat yang boleh digerakkan usaha yang sama untuk menggunakan nama asal mereka.
Sebagai contoh, Port Dickson diubah kepada Pantai Dermaga, Slim River kepada Sungai Seling, Brickfields kepada Padang Bata, dan Butterwoth kepada Bagan.
Jika terdapat suara sumbang yang berkeras ingin menolak perubahan nama ini kepada nama tempatan atas alasan nilai sejarah kawasan itu, mereka ini sebenarnya pihak yang buta sejarah kerana sejarah sesebuah kawasan itu sudah pun wujud sebelum kedatangan British di Malaysia lagi.