Pengusaha bas melaporkan bahawa tambang bas sekolah dijangka akan dinaikkan oleh mereka tahun depan demi kelangsungan industri tersebut.
Hal ini telah dimaklumkan oleh Presiden Pertubuhan Kebajikan Bas Sekolah Malaysia (BSM), Mohd Haron Mohamad Sidik yang mengatakan kenaikan ini dijangka berlaku antara 25 hingga 30 peratus didorong oleh kenaikan kos alat ganti dan kenaikan gaji minimum.
Bukan itu sahaja malahan kewujudan kenderaan haram yang semakin berleluasa telah memberikan persaingan dan gangguan kepada operasi bas sekolah maka kenaikan tambang ini terpaksa dilakukan oleh mereka.
Selain itu, sesi persekolahan dijangka kembali sedia ada pada 2026 menyebabkan operasi bas sekolah akan menjadi 11 bulan sahaja susulan cuti penuh pada Disember.
Murid-murid mungkin tidak lagi ke sekolah pada Oktober dan November selepas menduduki peperiksaan akhir tahun maka pengusaha bas hanya akan mendapat pendapatan untuk tambang bas dalam tempoh 9 bulan sahaja.
Hal ini akan membebankan mereka kerana mereka juga perlu menanggung kos insurans, cukai jalan, pemeriksaan berkala di Puspakom dan sara hidup dalam tempoh 12 bulan setahun.
Harga Tambang Bas Sekolah Terpaksa Dinaikkan Akibat Bebanan Kos
Kenyataan yang dikeluarkan oleh mereka di atas jelas menunjukkan bahawa kenaikan ini terpaksa dilakukan oleh mereka disebabkan oleh bebanan kos yang tinggi perlu ditanggung.
Jika sebelum ini mereka boleh membuka sewaan bas ketika hari cuti sekolah untuk menambah pendapatan operasi bas sekolah namun kini keistimewaan itu terpaksa ditarik oleh Kementerian Pengangkutan.
Kerajaan sebelum ini juga mengatakan kenaikan tambang bas sekolah tidak patut dinaikkan memandangkan mereka tidak terkesan dengan kenaikan harga diesel.
Mereka diberikan subsidi diesel dengan syarat mereka adalah pengusaha bas yang sah namun kelihatannya ia masih belum mampu untuk menghentikan perancangan untuk kos ini dinaikkan oleh mereka.
Mungkin trend kenaikan harga barang sekarang ini memang tidak boleh dielakkan sehingga memaksa rakyat untuk menerimanya dengan sepenuh hati.
Ataupun kerajaan boleh mencari solusi terbaik untuk menyelesaikan isu ini dengan duduk semeja berbincang bersama pengusaha bas untuk memastikan kenaikan tambang ini tidak berlaku.
Aduan dan keluhan mereka juga wajar didengar memandangkan mereka juga adalah rakyat Malaysia yang mencari rezeki secara sah di negara ini.