SHAH ALAM – Beberapa orang ahli ekonomi antaranya penganalisis ekonomi Universiti Selangor (Unisel), Profesor Dr Saadiah Mohamad menyatakan optimis gelaran ‘Harimau Asia’ yang pernah disandang oleh Malaysia ketika waktu dahulu mampu dibawa kembali di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Beliau menyatakan rasa optimisnya itu terhadap potensi Malaysia mendapat gelaran ‘Harimau Asia’ setelah melihat ramai pemimpin antarabangsa memberikan reaksi yang positif.
Sebenarnya, Malaysia daripada dahulu lagi tidak pernah digelar ataupun bergelar sebagai ‘Harimau Asia’.
Gelaran itu hanya merujuk kepada Korea Selatan, Taiwan, Hong Kong dan Singapura. Hanya negara-negara ini sahaja yang mendapat gelaran tersebut.
Oleh hal yang demikian, kenyataan Rafizi Ramli yang mengatakan Malaysia boleh kembali menjadi ‘Harimau Asia’ jika menumpukan kepada sektor bernilai tinggi adalah kurang tepat dan tidak betul.
Satu lagi persoalan yang perlu dijawab adalah adakah Malaysia berpotensi untuk menjadi ‘Harimau Asia’ pada masa akan datang? Hal ini kerana banyak kriteria yang perlu dipenuhi oleh sesebuah negara itu jika ingin digelar dengan gelaran sedemikian.
Bekas menteri, Zaid Ibrahim berkata negara dengan gelaran tersebut perlu mempunyai ciri-ciri seperti penduduk yang berpendidikan tinggi, pendapatan eksport yang tinggi dan kadar simpanan yang tinggi.
Menurut Zaid, melahirkan rakyat terpelajar adalah bahagian paling mencabar bagi Malaysia jika mahu dianggap sebaris dengan negara Taiwan, Hong Kong dan Korea Selatan dengan gelaran itu.
Dakwaan ini ada benarnya setelah melihat Malaysia masih lagi belum mampu untuk mengatasi masalah kemiskinan pendidikan yang dialami oleh pelajar dan murid di Malaysia. Kemiskinan ini menyebabkan ramai murid mengalami keciciran dalam pelajaran dan terus tidak menyambung pendidikan di sekolah.
Terdahulu, Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah berkata tinjauan positif daripada penganalisis dan agensi penarafan, disokong oleh angka ekonomi yang menggalakkan, menandakan Malaysia sedang mengorak langkah besar untuk untuk mendapatkan semula status ‘Harimau Asia’.