SHAH ALAM, 20 Mei — Pemuda ANGKASA BERJASA menegaskan pendirian mereka untuk terus mempertahankan dan menjunjung titah Sultan Sharafuddin Idris Shah susulan kontroversi berkaitan cadangan pengusahaan kandang babi di Selangor.
Ketua Pemuda ANGKASA BERJASA, Meor Azim berkata, penyertaan pihaknya dalam Himpunan Daulat Tuanku #FullStop pada 16 Mei lalu merupakan tanda solidariti bersama rakyat yang mahu institusi Raja-Raja Melayu terus dihormati dan dipertahankan.
Dakwa Ada Pihak Enggan Patuh Titah Sultan
Meor Azim berkata, Sultan Selangor telah menitahkan agar pengusahaan kandang babi tidak diteruskan, namun masih ada pihak yang berdegil mempertahankannya.
Beliau turut membangkitkan kenyataan Ronnie Liu yang didakwa masih mempertahankan pendirian berhubung isu itu sehingga timbul cadangan membawa perkara tersebut ke mahkamah.
“Persoalannya, adakah perkara seperti ini wajar berlaku di negeri yang berdaulat di bawah institusi pemerintahan beraja?” katanya.
Isu Sensitiviti dan Kedudukan Institusi Raja-Raja Melayu
Menurut Meor Azim, isu itu tidak boleh dipandang ringan kerana menyentuh sensitiviti 3R melibatkan agama, kaum dan institusi diraja.
Beliau menegaskan titah Raja-Raja Melayu dijamin Perlembagaan Persekutuan dan wajib dihormati semua pihak tanpa mengira latar politik.
Katanya, pelbagai titah Sultan Sharafuddin Idris Shah berkaitan kemiskinan tegar dan banjir berulang masih belum ditangani sepenuhnya kerajaan negeri.
“Isu ini melibatkan seluruh rakyat Selangor tanpa mengira kaum dan agama, sedangkan kandang babi hanya melibatkan segelintir pihak,” katanya.
Tiga Cadangan Pemuda BERJASA
Dalam kenyataan sama, Pemuda BERJASA turut mengemukakan tiga cadangan kepada Kerajaan Negeri Selangor.
Cadangan pertama ialah menghentikan semua kelulusan dan lesen baharu pengusahaan kandang babi di Selangor.
Kedua, pihaknya mencadangkan Jawatankuasa Khas Pematuhan Titah Diraja diwujudkan di peringkat kerajaan negeri.n.
Menurut Meor Azim, cadangan itu selari dengan BINA2040 yang menjunjung Perlembagaan Persekutuan dan institusi Raja-Raja Melayu.
Cadangan ketiga ialah kerajaan negeri memberi tumpuan kepada isu kebajikan rakyat dan kos sara hidup.
“Daulat Tuanku”
Mengakhiri kenyataannya, Meor Azim menegaskan bahawa Pemuda BERJASA akan terus berdiri bersama rakyat dan mempertahankan institusi Raja-Raja Melayu demi memastikan kedaulatan negara terus terpelihara.
“Daulat Tuanku. Bersama Pimpin Negara,” katanya.