KUALA LUMPUR – Portal berita Thailand, The Nation telah melaporkan baru ini bahawa syarikat Tesla membatalkan perancangan untuk membuka kilang pembuatan kereta elektrik (EV) di Asia Tenggara sama ada di Malaysia, Thailand dan Indonesia.
Dalam sumber akhbar itu juga mengatakan Tesla akan lebih menumpukan kepada pengukuhan eksoistem stesen pengecasan bukan sahaja di Thailand malahan seluruh dunia.
Keputusan pembatalan untuk membuka kilang ini mungkin didasari atas faktor persaingan dengan produk EV daripada China iaitu BYD. Trend pembelian EV di Asia Tenggara menunjukkan jenama BYD mendapat jumlah permintaan yang lebih ramai berbanding Tesla.
Hal ini dapat dibuktikan melalui data yang menunjukkan Tesla hanya mengeluarkan 484,507 kenderaan berbanding BYD yang mengeluarkan 526,409 kenderaan pada suku keempat tahun 2023.
Perkara ini juga ditegaskan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang menjelaskan keputusan pembatakan ini adalah strategi perniagaan Tesla di atas faktor trend pembelian yang merudum itu.
Dalam masa yang sama juga, beliau menegaskan kerajaan tidak pernah mengeluarkan kenyataan bahawa Tesla akan membuka kilang pembuatan EV di Malaysia.
Beliau mengatakan kerajaan hanya ada mengadakan perbincangan dengan pengasas Tesla, Elon Musk dalam usaha menarik pelaburan, tetapi bukan melibatkan perkara itu.
Ramai pihak sudah jelas mengenai hal itu kerana sebelum ini Tesla hanya menjanjikan untuk membuka ibu pejabatnya di Cyberjaya sahaja.
Namun begitu, kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berdegar-degar mengatakan Tesla akan membuka peluang pekerjaan dan pemindahan teknologi di Malaysia menampakkan pelaburan Tesla di Malaysia adalah sesuatu yang besar. Maka tidak hairan rakyat meletakkan harapan yang besar susulan pengumuman Datuk Seri Anwar Ibrahim itu.
Mungkin selepas ini beliau perlu cuba mengawal ‘keterujaan’ beliau apabila mengumumkan sesuatu yang belum pasti. Hal ini bagi mengelakkan berlakunya situasi yang memakan diri seperti sekarang.
Selain itu, kerajaan juga harus sedar kebergantungan yang penuh terhadap pelaburan luar (FDI) akan menjerat ekonomi negara.
Kita sebenarnya mempunyai keupayaan sendiri untuk membangunkan EV sendiri memandangkan Malaysia mempunyai sumber nadir bumi (REE) yang cukup untuk menghasilkan komponen EV.
Kerajaan perlu segera memberikan tumpuan untuk membangunkan keupayaan sendiri. Sumber yang ada tidak perlu disiakan dan jatuh ke tangan orang asing.
Ini lah masanya untuk Malaysia memanfaatkan kemahiran rakyat dalam bidang TVET seperti yang diberitahu oleh kerajaan sebelum ini.