Hari ini Ketua SUHAKAM, Dato’ Seri Mohd Hishamudin Yunus yang baru sahaja dilantik pada 5 Julai yang lalu telah menggesa kerajaan untuk meratifikasi ICERD demi menjamin kepentingan hak asasi manusia di Malaysia.
Beliau dilihat langsung tidak melihat sejarah yang lepas apabila kerajaan di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) pernah mengusulkan cadangan untuk meratifikasi ICERD namun terpaksa menarik semula tersebut apabila dibantah oleh orang Melayu dan Bumiputera.
Adakah beliau tidak pernah melihat Himpunan Bantah ICERD pada November 2018 yang telah berjaya menghimpunkan ribuan orang Melayu di Masjid Jamek? Perhimpunan tersebut telah berjaya mengumpulkan parti-parti politik dan NGO-NGO Melayu untuk berhimpun bersama menyatakan bantahan terhadap ICERD.
Bertitik tolak daripada himpunan tersebut kerajaan akhirnya membatalkan keputusan untuk meneruskan cadangan meratifikasi ICERD.
Isu meratifikasi ICERD di sudah lama dibahaskan sejak 2018 lagi dan sepatutnya cadangan untuk meratifikasi konvensyen tidak timbul lagi.
Semestinya akan timbul persoalan daripada ramai pihak tentang apakah yang sebenarnya menghalang konvensyen ini dilaksanakan di Malaysia.
ICERD Sebenarnya Tidak Sesuai Dilaksanakan Di Malaysia
Setelah melakukan penyelidikan secara mendalam, dapatan yang diperoleh jelas menampakkan ketidaksesuaian ICERD untuk dilaksanakan di Malaysia.
Antara sebab ICERD tidak sesuai dilaksanakan di Malaysia ada seperti berikut:
- ICERD dilihat bercanggah dengan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia yang melindungi hak-hak istimewa Bumiputera. Hal ini akan membuka ruang kepada ancaman yang ingin mencabar keabsahan Perkara 153.
- ICERD akan membuka ruang kepada mana-mana pihak untuk mencabar kedudukan Islam dalam perlembagaan yang telah sedia ada memperuntukan keistimewaan sedia ada terhadap agama Islam pada Perkara 3 (1). Sensitiviti orang Melayu terhadap Islam amat tinggi dan wujud kebimbangan bahawa ratifikasi ICERD boleh menyebabkan ketegangan antara kumpulan etnik di Malaysia, terutamanya jika dianggap mengancam hak dan keistimewaan sedia ada.
- Pelaksanaan ICERD memerlukan perubahan dalam dasar dan undang-undang yang mungkin menghadapi rintangan dari segi penerimaan serta pemahaman di kalangan rakyat dan institusi. Pengenalan ICERD kepada rakyat Malaysia masih terbatas dan keburukan yang ada pada ICERD pasti akan ditentang oleh orang Melayu secara keras.
SUHAKAM sepatutnya faham langkah dan cara untuk mengangkat hak asasi manusia agar terjamin di Malaysia tidak semestinya melalui ICERD semata-mata. Perlembagaan Persekutuan Malaysia sudah pun menjamin hak asasi bagi semua rakyat Malaysia.
Meratifikasikan ICERD memerlukan perbincangan yang mendalam dan menyeluruh melibatkan semua lapisan masyarakat untuk memastikan ia dilaksanakan dengan cara yang adil dan harmoni.
Jika SUHAKAM terus bertegas ingin mendesak kerajaan agar meratifikasi ICERD, orang Melayu tidak teragak-agak untuk berhimpun semula hingga mewujudkan gelombang putih.