Shah Alam – Perang politik antara Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution berkenaan kecurian sumber nadir bumi (REE) di Kedah telah memperlihatkan satu pembongkaran yang agak mengejutkan.
Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi baru-baru ini sewaktu berkempen sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) telah mengatakan bahawa berlaku banyak kebobrokan dan salah laku dalam kepimpinan negara.
Beliau mengatakan bahawa negara ini dilihat telah dikawal oleh ‘warlord’ atau elitis kapitalis dan ekonomi. Pertama, beliau memberikan bukti berkenaan rawatan air di Kedah oleh syarikat milik Vincent Tan iaitu Air Utara Indah Sdn Bhd (AUISB) yang telahpun dijalankan selama tempoh 30 tahun. Akhirnya, konsensi AUISB itu telah pun ditamatkan di bawah kepimpinan beliau.
Naib Presiden 2 BERJASA, Ir Lukman Al-Hakim mengatakan bahawa ini bukan satu tempoh yang sekejap untuk sesebuah syarikat memegang konsensi air di Kedah tanpa adanya campur tangan kerajaan.
Beliau mempersoalkan mengapa begitu lama syarikat ini diberi peluang untuk menjarah hasil negeri sehingga membebankan rakyat yang terpaksa membayar air dengan kos yang begitu tinggi.
“Jika dilihat sebenarnya banyak jutawan yang memegang ahli-ahli politik kita. Bukan itu sahaja malahan boleh dilihat bagaimana Perdana Menteri kita boleh dilihat berkempen dengan menaiki helikopter dan memiliki kereta Jaguar yang semestinya amat mahal hasil pemberian seorang simpatisan. Bukan itu sahaja malahan kereta mewah BMW 7 Series telah pun dipulangkan oleh Perdana Menteri namun tidak boleh lari daripada fakta bahawa ia juga hasil pemberian jutawan”.
“Kita boleh mempersoalkan adakah Perdana Menteri kita ini berjiwa rakyat kerana bukan calang-calang pihak yang mendanai beliau dan rakan-rakan yang lain. Dahulu bukan beria-ria dan berkobar-kobar melaungkan azam untuk membasmi kemiskinan namun apa yang telah dibuat oleh kerajaan sekarang ini? Tiada apa-apa tindakan yang tuntas dan inisiatif yang besar pun untuk menghapuskan kemiskinan”, tegas beliau.
Tambah beliau, kerajaan kini hanya menjenamakan semula apa yang kerajaan dahulu lakukan seperti pemberian wang tunai yang dilihat sama dengan inisiatif yang diperkenalkan oleh mantan Perdana Menteri terdahulu iaitu Dato’ Seri Najib Razak iaitu Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M).
“Saya ingin melihat adakah akan berlakunya perubahan terhadap ekonomi negara apabila kerajaan kita sekarang ini masih ‘dipegang’ dan didanai oleh taikun dan jutawan”, jelas beliau.