Rekaan pakaian rasmi kontinjen Malaysia untuk Sukan Olimpik Paris 2024 mencetuskan kontroversi baru-baru ini. Wujud dakwaan bahawa Majlis Olimpik Malaysia (MOM) seakan mengambil mudah sahaja dalam soal rekaan pakaian kontinjen yang akan bertanding di Sukan Olimpik Paris 2024 iaitu pentas ulung sukan antarabangsa.
Menambahkan kemarahan rakyat lagi adalah apabila Ketua Kontinjen (CDM) Datuk Hamidin Mohd Amin berkata “tiada gunanya pakaian kontinjen itu cantik jika tidak membawa pulang pingat emas”. Beliau sepatutnya sedar bahawa pakaian dan prestasi kontinjen adalah perkara yang berasingan maka seeloknya kita menginginkan kedua-dua elemen itu dilihat “menang”.
Pakaian kontinjen melambangkan identiti negara dan pentas Olimpik ini menghimpunkan ribuan atlet seluruh dunia untuk bertanding. Semestinya kita mahukan orang ramai daripada luar kagum dengan kita tidak kira dari segi pakaiannya dan juga prestasi atlet.
Namun begitu, terdapat satu kesilapan besar lain yang boleh dilihat pada pakaian kontinjen ini. Timbul satu persoalan adakah dibenarkan di sisi undang-undang untuk mengubah warna bendera Jalur Gemilang selain daripada warna asalnya.
Jika dilihat dengan teliti pada pakaian tersebut, jelas bendera Jalur Gemilang diwarnakan dengan warna emas kononnya atas dasar semangat ingin memburu pingat emas yang pertama di dalam Olimpik. Mesej yang ingin disampaikan bagus namun tidak wajar bendera Jalur Gemilang diubah warnanya.
Tidak sepatutnya pihak berwajib sewenang-wenangnya mengubah warna asal Jalur Gemilang kerana setiap warna pada Jalur Gemilang itu mempunyai maksudnya yang tersendiri. Mengubah warna asal bendera menampakkan pereka pakaian tidak sensitif dengan ketinggian nilai Jalur Gemilang.
Jika kita boleh melenting apabila seorang tokoh perniagaan bergelar Tan Sri yang memuat naik gambar Jalur Gemilang dengan jalur hitam, maka kita sepatutnya ada rasa sensitif yang sama terhadap warna Jalur Gemilang yang diubah menjadi warna emas.