KUALA LUMPUR – Jabatan Perangkaan melaporkan inflasi meningkat kepada 2% pada Mei berbanding 1.8% dicatatkan pada April. Kenaikan inflasi ini didorong oleh kenaikan harga dalam kumpulan utama perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain sebanyak 3.2% dan kenaikan 3.2% lagi dalam perkhidmatan restoran dan penginapan.
Peningkatan juga direkodkan dalam pendidikan sebanyak 1.5%; pengangkutan (0.9%); penjagaan diri, perlindungan sosial dan pelbagai barangan dan perkhidmatan (3.0%); kesihatan (2.2%); rekreasi, sukan dan kebudayaan (1.9%) serta makanan dan minuman (1.8%), kata Jabatan Perangkaan (DOSM) hari ini.
Pakaian dan kasut serta insurans dan perkhidmatan kewangan masing-masing merosot 0.2% dan 0.1%.
“Inflasi utama bulanan pada Mei 2024 merekodkan peningkatan 0.3% berbanding April 2024 (0.2%). Kebanyakannya didorong oleh perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain serta maklumat dan komunikasi, masing-masing melonjak sebanyak 0.6%.
“Ia diikuti dengan makanan dan minuman; perkhidmatan restoran dan penginapan; rekreasi, sukan dan kebudayaan serta pendidikan yang masing-masing meningkat 0.3% berbanding bulan sebelumnya,” kata DOSM.
Bagaimanapun, ia berkata harga perabot, peralatan isi rumah dan penyelenggaraan rutin isi rumah berserta perkhidmatan kesihatan, insurans dan kewangan tidak mencatatkan sebarang kenaikan, justeru ia membantu mengimbangi kenaikan inflasi.
Inflasi teras yang mengukur perubahan dalam harga semua barangan dan perkhidmatan tidak termasuk harga makanan segar dan harga barangan yang diuruskan kerajaan, meningkat sebanyak 1.9% pada Mei 2024, kadar sama seperti dicatatkan pada April 2024.
DOSM berkata peningkatan itu kebanyakannya dipacu perkhidmatan restoran dan penginapan serta penjagaan diri, perlindungan sosial dan pelbagai barangan dan perkhidmatan, masing-masing meningkat 3.3 dan 3.0%.
“Inflasi tanpa bahan api cenderung kepada 1.9% pada Mei 2024 kepada 123.1 berbanding 120.8 pada bulan yang sama tahun sebelumnya. Inflasi tanpa bahan api meliputi semua barangan dan perkhidmatan kecuali petrol RON95, petrol RON97 dan diesel,” katanya.
SUMBER : Free Malaysia Today