Subsidi telur dilihat akan menjadi satu lagi subsidi yang akan ditarik semula atau dihapuskan oleh kerajaan selepas subsidi diesel dan subsidi ayam.
Hal ini selepas Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mengatakan mereka akan mengkaji semula pemberian subsidi telur ayam bagi gred A, B dan C namun ia akan dipertimbangkan sekiranya bekalan telur ayam kembali pulih dan stabil.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu menegaskan langkah menamatkan subsidi telur ini wajar dipertimbangkan berdasarkan kejayaan penamatan subsidi ayam yang memberi penjimatan RM100 juta sebulan.
Maka ini dapat disimpulkan bahawa pertimbangan untuk menamatkan pemberian subsidi berkenaan dibuat selepas melihat ‘kejayaan’ penamatan subsidi ayam.
Penarikan Subsidi Ayam Dan Telur Dibuat Dalam Tempoh Yang Dekat
Kerajaan sepatutnya memberikan tempoh yang panjang untuk melihat terlebih dahulu sama ada ingin meneruskan penarikan subsidi telur ayam atau tidak.
Sebelum ini kerajaan telah menamatkan subsidi ayam pada 1 November 2023 dan langkah itu dibuat dengan begitu drastik.
Hal ini dapat dilihat melalui kenyataan Persatuan Pengguna Kedah (Cake) yang menyifatkan tindakan kerajaan mengapungkan harga ayam bermula 1 November 2023 sebagai terlalu drastik dan tidak bersesuaian dengan waktunya.
Pengapungan harga ayam di pasaran ini akan menyebabkan harga ayam mudah untuk turun dan naik serta dalam masa yang sama harga ayam ini akan ditetapkan berdasarkan harga daripada ladang dan pembekal.
Bekalan Beras Tempatan Jangan Kerajaan Lupakan
Bekalan telur sememangnya sering menjadi perhatian kerajaan dan rakyat kerana masalah kekurangan bekalan telur di pasaran sudah lama pun berlaku.
Sehingga kini tiada lagi jaminan bekalan telur boleh pulih sehingga pengumuman untuk mempertimbangkan penghapusan subsidi telur ini dibuat oleh kerajaan.
Namun begitu, ada satu lagi bekalan makanan keperluan yang perlu difokuskan oleh kerajaan iaitu bekalan beras tempatan yang didakwa sukar didapati di pasaran.
Ketua kluster keterjaminan makanan Majlis Perudingan Melayu Syed Zikri Shahabudin berkata masalah ini bukan berpunca kepada bekalan beras tempatan yang berkurang tetapi peniaga tidak mahu menjual beras tempatan kerana ia tidak menguntungkan.
Kebiasannya pengimport akan mengimport melalui Bernas dan mereka akan campurkannya dengan beras tempatan.
Kerajaan sepatutnya turut memandang serius dalam isu ini kerana ia dilihat sebagai satu tindakan penipuan yang dibuat oleh pembekal beras.
Beras, ayam dan telur adalah makanan asasi dan utama bagi rakyat Malaysia maka ketiga-tiga barang komoditi ini perlu diselesaikan masalahnya dengan segera.