UTAR atau nama penuhnya Universiti Tunku Abdul Rahman telah dibebaskan daripada pertikaian cukai dan dendanya oleh Perdana Menteri.
Tunggakan cukai dan denda yang dilaporkan oleh portal media seperti Malaysiakini dan Sin Chew Daily berjumlah RM83 juta seperti yang dituntut oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Penghapusan tunggakan cukai dan denda terhadap universiti tersebut ini disahkan oleh Setiausaha Agung DAP Anthony Loke yang mengatakan Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Menteri Kewangan telah mengarahkan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Joham Mahmood Merican untuk menghantar surat kepada Yayasan Pendidikan Utar (Utraref) untuk memaklumkan perkara itu.
Sebelum ini, Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying menegaskan UTAR tidak akan diberikan status pengecualian cukai.
Kemudian sehari selepas Lim Hui Ying berkata demikian, Presiden MCA Wee Ka Siong pantas berkata UTAR dan UTAREF sepatutnya diiktiraf sebagai entiti tunggal dan tidak bersetuju dengan pengekelasannya sebagai badan berasingan pada masa ini.
Siapakah Pengasas Kepada UTAR?
Parti Malaysian Chinese Association (MCA) merupakan pengasas kepada UTAR dan ditubuhkan pada tahun 2002 sebagai sebahagian daripada usaha MCA untuk menyediakan pendidikan tinggi yang lebih luas kepada rakyat Malaysia, khususnya masyarakat Cina.
Dengan menubuhkan universiti ini, MCA berjaya mewujudkan sebuah institusi yang menyediakan pendidikan tinggi berkualiti, bukan hanya kepada masyarakat Cina tetapi juga kepada semua lapisan masyarakat di Malaysia.
Walaupun MCA adalah pemangkin utama di sebalik penubuhan UTAR, universiti ini diuruskan oleh Yayasan UTAR yang merupakan sebuah badan ataupun pertubuhan berasaskan bukan keuntungan yang memastikan institusi pendidikan ini berfungsi sebagai institusi bebas.
IPTS Diberikan Keistimewaan, Sekolah Kebangsaan Daif Dianaktirikan
Isu pelepasan tunggakan cukai dan denda yang dikenakan terhadap UTAR ini menunjukkan IPTS diberikan keistimewaan oleh kerajaan.
Jika melihat kepada keadaan sekolah kebangsaan yang daif, masih banyak peruntukan yang perlu disalurkan kepada sekolah ini untuk keselesaan murid-murid dan guru.
Menurut laporan daripada Berita Harian, sebanyak 1069 sekolah daif khususnya di Sabah dan Sarawak dan 693 daripadanya sudah dibaik pulih.
Kerajaan sepatutnya mengekalkan hukuman denda kepada UTAR dan menggunakan denda yang diperoleh itu untuk dimasukkan di dalam bajet membaik pulih sekolah daif.
Bukan setakat infrastruktur bangunan sekolah daif perlu diperbaiki malahan laluan ke sekolah di pedalaman juga perlu diwujudkan bagi memastikan murid-murid dan guru-guru mampu pergi ke sekolah dengan selamat.
Kerajaan perlu bersikap adil di dalam hal ini dan tidak perlu bersikap selektif dalam menguruskan hal ehwal pendidikan.