SHAH ALAM – Laungan dan tentangan terhadap polisi lantikan politik oleh kerajaan kini sewaktu menjadi pembangkang dahulu hanya tinggal angan-angan sahaja. Kini mereka juga yang mewujudkan lantikan politik dengan melantik Ahli Parlimen Kluang daripada DAP iaitu Wong Shu Qi sebagai pengerusi baharu Talent Corporation Malaysia Bhd (TalentCorp) berkuatkuasa pada hari Rabu.
TalentCorp dalam satu kenyataan berkata, Mohd Khuzzan Abu Bakar yang berpengalaman lebih 14 tahun dengan Bank Muamalat Malaysia turut dilantik sebagai timbalan pengerusi.
Lembaga TalentCorp turut dianggotai Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia (Kesuma), Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud; Timbalan Ketua Setiausaha (Makro) Kementerian Ekonomi, Datuk Luqman Ahmad dan Timbalan Setiausaha (Antarabangsa) Kementerian Kewangan, Dr Emelia Fantoza Saraih.
Sementara itu, Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, pelantikan berkenaan akan membawa perspektif baharu dan strategi inovatif untuk membangunkan ekosistem bakat di negara ini.
Hasil daripada carian latar belakang Ahli Parlimen Kluang ini, kami mendapati beliau langsung tiada pengalaman dalam mengemudi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sebelum ini apatah lagi untuk mengemudi sebuah entiti syarikat yang bertanggungjawab menarik, memupuk dan mengekalkan modal insan serta kepakaran yang terbaik dalam memandu perjalanan Malaysia ke arah mencapai status negara maju.
Penyelidikan yang dibuat oleh kami di Linkedin menunjukkan beliau hanya berpengalaman sebagai pustakawan dan wartawan di Merdeka Review sebelum menyertai arena politik.
Disamping itu, latar belakang pendidikan beliau juga menunjukkan beliau merupakan graduan kewartawanan dan sains politik di National Chengchi University, Taiwan dan sarjana pentadbiran awam di Lee Kuan Yew School of Public Policy. Bukan untuk merendahkan kualiti pendidikan yang diperoleh, Gelombang BERJASA melihat kerajaan sepatutnya melantik individu yang lebih berpengalaman secara khusus di dalam industri pekerjaan dan industri berteknologi tinggi selaras dengan hasrat negara ingin ke arah TVET untuk pasaran kerja kelak.
Tidak cukup dengan lantikan politik, kerajaan juga seakan-akan melantik individu yang ‘tangkap muat’ sahaja untuk mengisi jawatan tersebut. Hal ini menunjukkan bahawa budaya lantikan politik yang sudah meluas dan berzaman ini tidak akan berakhir walau bertukar kerajaan sekalipun.