KUALA LUMPUR – Tiada angin dan tiada ribut, semua klinik swasta yang menyediakan Skim Perubatan MADANI mendapat arahan bahawa skim tersebut tidak akan diteruskan lagi kecuali di 10 daerah sahaja. 10 daerah yang kekal mendapat manfaat Skim Perubatan MADANI ini hanya meliputi Kota Kinabalu, Kuala Lumpur, Gombak, Hulu Langat, Petaling Jaya, Klang, Kinta, Timur Laut dan Kuching.
Jika imbas kembali kepada pembentangan Bajet 2024, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menjanjikan Skim Perubatan MADANI akan diperluaskan ke seluruh negara dengan peruntukan sebanyak RM100 juta. Skim hasil kerjasama KKM bersama ProtectHealth ini difokuskan untuk memperluas akses kumpulan berpendapatan rendah kepada perkhidmatan kesihatan yang berkualiti dan berjaya merekodkan lebih sejuta lawatan pesakit bagi rawatan sakit-sakit ringan percuma di klinik swasta berdaftar, sejak skim itu diperkenalkan pada 15 Jun lalu.
Sekarang ini atas dasar apa Skim Perubatan MADANI ini dihentikan di seluruh negara selain 10 daerah tersebut. Ramai pihak yang meminta respon daripada kerajaan terutamanya KKM mengenai sebab kukuh skim ini tidak diteruskan lagi.
Kerajaan perlu memberikan kenyataan mengenai kriteria pemilihan 10 daerah berkenaan. Hal ini perlu dimaklumkan secara telus kerana kerajaan sudah pun berjanji untuk memastikan seluruh negara memperoleh akses daripada skim tersebut yang melibatkan bajet keseluruhan sebanyak RM100 juta.
Jika benar ada masalah daripada segi ketidakcukupan bajet sekalipun, kerajaan mungkin boleh memperkenalkan sistem kuota iaitu klinik-klinik yang menyertai skim itu boleh diberikan kuota merawat dengan nilai RM10,000 sebulan seperti yang dicadangkan oleh Persatuan Doktor-Doktor Islam Malaysia (Perdim).
Kerajaan yang gagal meneruskan skim ini akan dikenali sebagai kerajaan yang tidak menepati janji dan hanya lakukan sesuati dengan hangat-hangat tahi ayam sahaja.