Bak Kut Teh: Sup Tulang Babi MADANI Perlu Dicegah

BANGI – Bak Kut Teh ataupun sup tulang babi tidak sepatutnya diangkat sebagai makanan warisan negara Malaysia. Hal ini kerana Bak Kut Teh tidak melambangkan identiti negara Malaysia sebagai sebuah negara yang majoriti rakyatnya beragama Islam.

Demikian tegas Presiden BERJASA, Zamani Ibrahim yang nyata tidak bersetuju dengan langkah kerajaan mengangkat bak kut teh sebagai makanan warisan negara. Beliau tegaskan agak aneh apabila makanan yang hanya dimakan oleh golongan minoriti diangkat begitu tinggi sedangkan makanan itu mengandungi makanan yang haram dimakan oleh orang Melayu dan Islam yang merupakan rakyat majoriti di Malaysia.

Beliau yang menamakan menu ini sebagai Bak Kut Teh MADANI kerana ia diangkat sewaktu pemerintahan Kerajaan Madani mengatakan bahawa ini seakan-akan satu perancangan strategik oleh kerajaan untuk merosakkan identiti nasional Malaysia yang tunjangnya diletakkan pada identiti Melayu dan Islam.

“Saya pertama sekali ingin menyatakan kekecewaan kepada Jabatan Warisan Negara yang berada di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya kerana mengangkat bak kut teh sebagai makanan warisan negara. Bak kut teh ialah sup tulang babi dan makanan ini tidak boleh diangkat sebagai makanan warisan negara kerana ada tiga sebab”.

“Sebab yang pertama ialah negara kita ini ialah negara yang mengangkat Islam sebagai agama Persekutuan. Jadi mana mungkin sebuah negara yang mengangkat Islam di kedudukan yang tertinggi boleh mengangkat sesuatu yang mencemarkan imej Islam itu sendiri. Saya lihat ia sebagai satu usaha untuk mencemarkan Islam sebagai agama rasmi negara”.

“Sup tulang babi ini juga bukannya berasal daripada Malaysia kerana menu ini dibawa sekali oleh imigran China dahulu sewaktu dibawa oleh British. Mereka ditempatkan di kawasan-kawasan lombong dan akhirnya membentuk komuniti di sini pasca merdeka dan masih mengekalkan menu itu sebagai juadah mereka”.

“Lagi satu sup tulang babi ini hanya dimakan oleh kaum Cina sahaja. Kaum lain seperti Melayu dan India tidak makan menu ini jadi agak menjengkelkan menu yang hanya dimakan oleh satu kaum sahaja dapat menjadi makanan warisan negara”, tegas beliau.

Tegas beliau, sesebuah makanan itu sepatutnya boleh dinikmati oleh semua kaum baru lah boleh diangkat menjadi makanan warisan negara. Namun, kerajaan langsung tidak mempertimbangkan hal tersebut.

Beliau menyeru agar ahli-ahli Parlimen sama ada dalam kerajaan mahupun pembangkang terutamanya yang beragama Islam bertegas dalam isu ini bagi memastikan identiti negara tidak terus tercemar.

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Skim Perubatan MADANI: Mana Janji Untuk Seluruh Negara?

Next Post

Menteri Pelancongan Malaysia Paling Kontroversi

Related Posts