LENGGENG – Pemuda BERJASA ataupun nama lainnya ANGKASA BERJASA telah menganjurkan Sidang ANGKASA BERJASA Nasional 2024 yang bertempat di YM Education And Training Centre yang bertempat di Lenggeng, Negeri Sembilan. Program yang dijalankan selama dua hari ini telah mengumpulkan pemuda daripada seluruh Malaysia bagi membincangkan gerak kerja dan perancangan Pemuda BERJASA untuk tahun 2024.
Perbincangan dalam kalangan mereka banyak tertumpu kepada usaha mereka untuk membantu masyarakat Melayu dalam keluar daripada cengkaman kapitalis. Hal ini dilihat kerana telah memberikan banyak kerugian kepada orang Melayu yang sering bergantung kepada kapitalis terutamanya dalam sektor makanan.
Program ini didahului dengan pengisian daripada Imran Hakimi yang bertajuk Cabaran Pasca PRU-15 dalam menggariskan beberapa insiden dan tindakan kurang popular daripada kerajaan terutamanya melibatkan isu sensitif melibatkan Melayu dan Islam. Perbincangan dua hala antara penyampai dan pendengar dijalankan dengan baik melalui pertukaran soalan dan jawapan antara mereka.
Program diteruskan dengan amanat daripada Ketua Pemuda BERJASA, Mohd Azriq Rosman yang menjelaskan tujuan BERJASA mengumpulkan para pemuda adalah dengan tujuan untuk menyampaikan resolusi dan perancangan yang ingin dilakukan oleh Pemuda BERJASA dalam arena politik tanah air. Pemuda BERJASA berasa terpanggil untuk mengadakan sidang ini setelah melihat banyak isu yang gagal diuruskan oleh kerajaan dengan baik yang melibatkan nasib orang Melayu.
Orang Melayu dilihat sukar untuk bertahan dalam sepak terajang ekonomi sekarang terutamanya melibatkan kenaikan kos barang keperluan asas yang melampau. Dalam persidangan ini juga para pemuda telah mencapai kesepakatan untuk mewujudkan laman komuniti yang terdiri daripada projek pertanian dan penternakan.
Seperti yang ditegaskan oleh Mohd Azriq Rosman, projek laman komuniti ini sebagai satu talian hayat kepada orang Melayu untuk mengurangkan kebergantungan kepada kapitalis dalam soal mencari sumber makanan seperti sayur-sayuran, ikan dan ayam. Sebagai permulaan, projek ini akan dimulakan di Kapar, Batang Kali dan Rembau.
Selain daripada memfokuskan kepada projek komuniti, Pemuda BERJASA juga fokus ingin melahirkan pemuda yang mampu memberikan impak positif kepada komuniti seterusnya mampu mengangkat kewibawaan ahli BERJASA di mata masyarakat setempat.