Apa Itu TVET & Mengapa Ia Penting Untuk Malaysia?

Bidang pendidikan TVET atau nama penuhnya ialah Latihan Teknikal dan Vokasional (Technical and Vocational Education and Training) kini semakin mendapat tempat di Malaysia.

Hal ini selaras dengan fokus kerajaan untuk menjadikan Malaysia menuju ke arah negara yang berpendapatan tinggi melalui penggunaan teknologi tinggi.

Setelah sekian lama Malaysia hanya menjadi negara pengguna, kini sudah tiba masanya untuk Malaysia berubah menjadi negara pengeluar yang mampu menguasai teknologi sama seperti negara Jepun dan Korea Selatan.

Sebelum ini, banyak laporan tempatan mahupun antarabangsa yang mengatakan Malaysia menguasai 13 peratus daripada pasaran global untuk perkhidmatan pembungkusan, pemasangan dan ujian bagi industri semikonduktor.

Namun demikian, Malaysia hanya terlibat sebagai “back-end” sahaja iaitu bahagian pemasangan bukannya “front-end” yang bertanggungjawab menghasilkan bahagian semikonduktor seperti cip. Ini bermakna Malaysia masih belum mengoptimumkan kemahiran teknologi yang sedia ada.

Peluang untuk menguasai bahagian “front-end” itu ada dengan syarat Malaysia mampu menguruskan bidang pendidikan TVET dan memanfaatkan kemahiran yang ada pada rakyat khususnya pelajar di Malaysia.

Apa Itu TVET & Sejarah Ringkasnya

Secara ringkasnya, TVET merujuk kepada pendidikan yang berfokus pada pembangunan kemahiran teknikal, praktikal, dan vokasional yang diperlukan untuk memasuki dunia pekerjaan.

TVET memainkan peranan penting dalam menyediakan tenaga kerja mahir yang dapat memenuhi keperluan industri dan membantu meningkatkan daya saing ekonomi negara.

Antara bidang yang berada di bawah kumpulan TVET ialah kejuruteraan mekanikal, kejuruteraan elektrik & elektronik, teknologi automotif, kejuruteraan awam, kejuruteraan mekatronik, pengaturcaraan komputer, keselamatan siber, pertukangan, automasi industri, pertanian moden, dan reka bentuk dalaman.

TVET di Malaysia sebenarnya sudah bermula seawal era penjajahan British dengan penubuhan sekolah-sekolah teknik dan vokasional.

Hal ini dapat dilihat melalui penubuhan Sekolah Teknik Kuala Lumpur pada tahun 1956 dan selepas kemerdekaan sekolah ini terus memainkan peranan penting dalam melatih tenaga kerja mahir yang diperlukan untuk membangunkan ekonomi negara yang baru merdeka.

Sekolah Teknik Kuala Lumpur kemudian dikenali sebagai Sekolah Menengah Teknik Kuala Lumpur dan telah menjadi salah satu model utama bagi pendidikan teknik dan vokasional di Malaysia.

Kini, Malaysia semakin mengorak langkah dalam bidang TVET apabila sudah wujud 89 Kolej Vokasional (KV) dan 9 Sekolah Menengah Teknik (SMT) di Malaysia.

Apakah Manfaatnya Untuk Malaysia?

TVET memainkan peranan yang amat penting dalam membangunkan modal insan yang berdaya saing dan relevan dengan keperluan semasa industri malahan mampu memberikan nilai tambah kepada ekonomi Malaysia.

TVET menyediakan tenaga kerja yang mempunyai kemahiran teknikal dan vokasional yang diperlukan oleh industri, terutama dalam sektor-sektor seperti pembuatan, pembinaan, teknologi, dan perkhidmatan.

Selain itu, graduan TVET juga dilengkapi dengan kemahiran praktikal yang tinggi, menjadikan mereka lebih mudah mendapatkan pekerjaan dan berdaya saing di pasaran kerja.

Mereka bukan sahaja boleh memasuki pasaran pekerjaan di Malaysia malahan mampu boleh menjual diri mereka di luar negara seperti negara-negara Timur Tengah yang memfokuskan kepada industri minyak dan gas.

Kemahiran yang dimiliki oleh graduan TVET ini amat mahal maka tenaga kerja mahir yang dihasilkan oleh TVET membantu meningkatkan produktiviti dan inovasi dalam industri, yang seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Seperti yang diterangkan sebelum ini, Malaysia boleh mengubah imejnya sebagai negara “back-end” kepada “front-end” jika berjaya memanfaatkan TVET ini untuk rakyat Malaysia maka tidak mustahil pada masa akan datang Malaysia mampu menghasilkan produk teknologinya yang tersendiri.

TVET juga menyokong pembangunan mampan dengan melatih tenaga kerja yang boleh mengendalikan teknologi dan proses yang mesra alam dan efisien.

Ini penting dalam usaha Malaysia untuk mencapai matlamat pembangunan mampan (Sustainable Development Goals, SDGs) yang ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Dengan kemahiran dalam bidang seperti teknologi hijau, kecekapan tenaga, dan pengurusan sisa, graduan TVET dapat membantu Malaysia mencapai pembangunan yang lebih mampan dan berdaya tahan.

Kesemua ini menunjukkan betapa pentingnya TVET dalam membina masa depan yang lebih baik dan lebih berdaya saing untuk Malaysia, di samping memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan dan inklusif.

Namun begitu, kerajaan diingatkan untuk terus komited untuk memperkukuh sistem TVET dengan memperkenalkan pembaharuan dan meningkatkan akses kepada pendidikan vokasional termasuk memperluaskan peluang untuk pembelajaran sepanjang hayat dan meningkatkan kerjasama dengan industri bagi memastikan graduan TVET kekal relevan dan berdaya saing di pasaran kerja.

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Miskin Bandar: Mengupas Faktor-Faktor Kemiskinan Di Kota Raya

Next Post

31 Ogos: Hari Kemerdekaan Atau Hari Kebangsaan?

Related Posts