PUTRAJAYA – Apabila Melayu jual tanah kepada orang bukan Melayu, ini bermakna orang Melayu juga telah hilang keistimewaan kuasanya.
Itu kata-kata daripada Presiden BERJASA, Haji Zamani Ibrahim sewaktu membentang di dalam program Deklarasi Pangkor 150 yang bertempat di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya pada hari Sabtu yang lepas. Deklarasi Pangkor 150 ini dianjurkan bagi memperingati 150 tahun selepas Perjanjian Pangkor ditandatangani di Tanah Melayu yang akhirnya menandakan bermulanya penjajahan British di Tanah Melayu.
Beliau melihat kekuasan orang Melayu semakin tercabar dan lemah apabila peratusan rizab tanah Melayu semakin mengecil. Hal ini dapat dibuktikan melalui peratusan asal rizab tanah Melayu sebanyak 50 peratus menjadi semakin mengecil kepada 12 peratus sahaja. Keadaan ini amat membimbangkan kerana dikatakan masih lagi banyak tanah rizab Melayu yang masih belum digantikan oleh kerajaan.
“Sejaumana orang Melayu sedar tanah itu bukan sekadar harta tetapi kuasa. Apabila anda jual tanah itu ia juga bermakna anda jual kuasa anda kepada orang lain. Kesedaran orang Melayu terhadap isu ini amat lemah. Mereka lebih memandang ia sekadar harta semata-mata”.
“Perlu diingatkan bahawa hukum menjual tanah milik orang Islam kepada bukan Islam adalah harus namun setelah diteliti ia bukan di bawah hukum harus lagi. Haram hukumnya menjual tanah kepada orang bukan Islam berdasarkan beberapa faktor. Pertama ketidakmampuan orang Melayu untuk membeli semula tanah yang telah dijual kepada orang bukan Islam. Kedua, perancangan dasar ekonomi orang Melayu akan tersasar. Dalam kalangan elit politik langsung tidak menggantikan tanah rizab Melayu yang telah diambil”, tegas beliau.
Penetapan hukum ini berlandaskan kepada contoh yang diambil di Palestin yang menunjukkan betapa mudahnya orang Arab Palestin hilang tanah kepada orang Yahudi. Kuasa membeli tanah daripada orang Yahudi amat tinggi sehingga orang Arab Palestin tidak mampu mendapatkannya semula. Akhirnya mereka kehilangan tempat tinggal selama-lamanya dan orang Yahudi di sana dapat membentuk komuniti yang luas sehingga mampu menubuhkan negara haram mereka yang dipanggil Israel.
Mengakhiri pembentangannya, beliau mencadangkan agar diwartakan fatwa yang menguatkuasakan haram bagi orang Islam menjual tanah kepada orang bukan Islam. Kedua, pemimpin perlu menggantikan semula tanah rizab Melayu yang telah diambil sehingga mampu mencukupkannya kepada kadar 50 peratus. Yang terakhir, seeloknya diwartakan tanah rizab Melayu ini menjadi tanah wakaf yang boleh dibangunkan namun untuk kegunaan orang Melayu dan pemilikan masih kekal kepada orang Melayu.