Langkah Geely memasuki pasaran ASEAN di Thailand dan Indonesia dengan melancarkan jenama kereta EX5 yang dikatakan sebagai “kembar” kepada kereta eMAS 7 milik Proton nyata menimbulkan persoalan daripada ramai pihak.
Selain daripada pasaran Asia Tenggara, Geely juga bercadang untuk memasuki pasaran automotif Australia dan New Zealand pada awal tahun 2025.
Langkah yang diambil oleh Geely di ASEAN ini seakan membelakangkan perancangan asal sewaktu Geely mengadakan kerjasama dengan Proton pada 2017 apabila berjanji ingin menggunakan jenama Proton sebagai hab pemanduan sebelah kanan (RHD) untuk memasuki pasaran ASEAN.
Perjanjian itu wajar dipersoalkan memandangkan kini Geely ingin memasuki pasaran ASEAN dengan menggunakan jenamanya sendiri bukannya Proton seperti yang dirancangkan dahulu.
Kemasukan jenama kereta China ini ke pasaran Australia dan New Zealand juga menjadi satu tamparan kepada Proton yang sudah sekian lama dikenali di dalam pasaran automotif Australia melalui kejayaan penjualan Proton Arena atau dikenali sebagai Jumbuck di sana.
Apakah Masa Depan Kerjasama Proton Dengan Geely?
Rakyat Malaysia wajar untuk mengetahui mengenai apakah nasib terhadap jenama kereta nasional ini pada masa akan datang melalui kerjasam dengan Geely.
Kemasukan jenama kereta China ke pasaran ASEAN dengan menggunakan jenamanya sendiri menampakkan bahawa perjanjian asal antara Proton dengannya untuk menjadikan Proton sebagai hab RHD di rantau Asia Tenggara seakan sudah “terkubur”.
Hal ini menampakkan seakan Geely sudah mengambil tempat Proton sedangkan Proton terlebih dahulu memasuki pasaran ASEAN dan Australia.
Pakar automotif, Hezeri Samsuri berpendapat perjanjian antara dua buah jenama kereta ini telah membuka pintu kepada jenama kereta China lain seperti BYD dan Chery untuk merancakkan lagi jualan di Malaysia dan Asia Tenggara yang lain.
Maka timbul persoalan sama ada perjanjian dengan Geely ini hanya menguntungkan pihak Geely dan syarikat automotif China sahaja.
Ataupun pihak Geely sudah hilang sabar dengan kadar pertumbuhan Proton yang begitu perlahan untuk mencapai keuntungan?
Kerajaan mungkin boleh mengambil maklum mengenai situasi ini dan mengambil langkah yang sewajarnya bagi memastikan jenama kereta nasional ini tidak mengalami kerugian di dalam perjanjian yang sudah dimeterai bersama syarikat automotif milik China ini.