Isu mengenai NGV gas akhirnya terjawab apabila kerajaan melalui Menteri Pengangkutan, Anthony Loke telah mengambil keputusan untuk menamatkan penggunaan NGV gas di Malaysia bagi kenderaan bermotor di Malaysia secara berperingkat mulai 1 Oktober dan menjelang suku tahun kedua 2025.
NGV atau nama penuhnya bahan api gas asli mampat tidak akan dijual secara berperingkat hasil keputusan yang dibuat oleh Jemaah Menteri dan keputusan ini dilaksanakan atas dasar keselamatan kepada pengguna serta orang ramai.
Menurut rekod daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), terdapat lebih kurang 44,383 kenderaan aktif yang berdaftar dengan bahan api NGV.
Hal ini pasti akan menimbulkan persoalan orang ramai tentang apakah nasib yang akan dihadapi oleh 44,383 pemilik kenderaan yang menggunakan NGV ini nanti.
Pemansuhan NGV Di Malaysia Akan Membebankan Rakyat
Rakyat Malaysia sudah sedia mengambil maklum mengenai bantuan yang akan diberikan oleh kerajaan kepada pengguna NGV susulan penamatan penjualan NGV ini iaitu bantuan RM3,000 sebanyak “one off“, penanggalan kit NGV dan pembayaran secara sekali sahaja kepada pemilik bersasarkan nilai kenderaan.
Mungkin pemberian bantuan ini dilihat sebagai satu simbol kepedulian kerajaan terhadap pemilik kenderaan NGV untuk tidak terbeban dengan langkah ini namun ia hanya bantuan jangka pendek sahaja.
Di Malaysia, pemilik kenderaan NGV yang paling ramai adalah pemandu teksi dan pengusaha pengangkutan awam.
Golongan ini memilih NGV kerana ia merupakan bahan bakar alternatif yang lebih murah berbanding petrol dan diesel sekali gus dapat mengurangkan kos operasi mereka.
Apabila NGV ditamatkan jualannya tahun depan, kos pengangkutan pasti akan naik maka rakyat akan terbeban dengan peningkatan kos ini.
Bukan itu sahaja malahan perlu diketahui juga bahawa pengguna NGV untuk kenderaan mereka terdiri daripada masyarakat luar bandar yang hanya mampu menggunakan NGV untuk kenderaan mereka atas sebab kos yang murah.
Kerajaan memang akan melakukan penyasaran subsidi untuk memastikan subsidi petrol dan diesel dapat dinikmati oleh individu yang berkelayakan sahaja namun menjadi keraguan apabila kerajaan sendiri belum memastikan kumpulan tingkat kelas pendapatan untuk rakyat Malaysia susulan kontroversi istilah “T15”.
Jangan hairan jika banyak lagi barang yang mencatatkan peningkatan harga susulan tindakan kerajaan ini.