BANGI – Kerajaan baru-baru ini menetapkan jumlah fi Lesen Kenderaan Motor (LKM) bagi pengguna kenderaan elektrik (EV) berdasarkan kuasa motor elektrik mulai 1 Januari 2026. Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook berkata kadar itu hanya terpakai kepada Kenderaan Sifar Emisi (ZEV) dalam kategori kenderaan elektrik bateri (BEV) dan kenderaan elektrik sel bahan api (FCEV) sahaja.
Beliau menegaskan secara puratanya kadar fi LKM baharu adalah 85% lebih rendah berbanding kadar untuk kenderaan berenjin. Kadar fi kenderaan elektrik (EV) itu akan disemak semula setiap lima tahun sekali bagi memastikan keberkesanannya untuk menggalakkan peralihan kepada kenderaan bebas asap dan kesannya kepada pendapatan kerajaan.
Naib Presiden BERJASA, Ir. Ts. Lukman Al Hakim berpendapat tindakan Kementerian Pengangkutan mengurangkan cukai jalan bagi kenderaan elektrik (EV) sehingga 85% bertujuan untuk menggalakkan peralihan dari kenderaan jenis enjin pembakaran kepada jenis EV.
Tambah beliau, ia adalah satu strategi normal yang dilakukan oleh mana-mana negara untuk memberikan insentif tertentu dan galakan khusus kepada rakyat untuk menjayakan sesuatu agenda nasional yang sedia kala didukung secara sepenuhnya oleh parti BERJASA.
“Dalam hal ini ia bertujuan bagi mempercepatkan transisi penggunaan EV supaya Malaysia mampu mencapai sifar jumlah perlepasan karbon (net zero carbon emission) menjelang tahun 2050″.
“Namun saya juga berpandangan inisiatif kerajaan dalam hal ini tidak seharusnya dibataskan kepada aspek cukai semata-mata, sebaliknya usaha untuk mengurangkan harga EV melalui usahasama dengan syarikat pengeluar atau pemberian subsidi khusus haruslah dipertimbangkan”.
“Selain itu, kehebatan teknologi dan kebolehpasaran EV buatan tempatan juga haruslah dibangunkan secara bersepadu dan pantas untuk bersaing dengan pengeluar antarabangsa terutamanya dari China”, tegas beliau.
Sementara itu, beliau juga berpendapat bahawa harga EV sebenarnya masih terlalu tinggi dan hanya mampu dimiliki oleh golongan berada serta berpendapatan tinggi sedangkan rata-rata rakyat negara ini masih ramai lagi yang terhimpit dengan isu kos sara hidup yang tinggi.
Mereka juga masih perlu membayar cukai harga cukai jalan yang normal bagi kenderaan jenis enjin pembakara dalaman.
“Lebih penting, keseluruhan ekosistem perindustrian di Malaysia terutamanya bagi pencemar karbon terbesar haruslah ditangani secara holistik dan tidak tertumpu semata-mata kepada perlepasan karbon dari kenderaan peribadi sahaja”, jelas beliau.