Islamophobia Di Malaysia Semakin Membarah

Sentimen Islamophobia di Malaysia dilihat semakin menjadi satu trend yang makin meningkat naik tidak kira di media sosial mahupun portal berita.

Pelbagai tohmahan dan fitnah telah dilemparkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab ini dengan tujuan ingin menyakitkan hati umat Islam di Malaysia.

Keadaan ini telah menimbulkan suasana yang tidak harmoni di dalam kalangan rakyat Malaysia yang majoritinya beragama Islam.

Malahan ia bertambah buruk apabila wujud dakwaan bahawa provokasi ini dilakukan secara teratur atas sebab ingin mencabar agama Islam yang merupakan agama rasmi bagi persekutuan Malaysia.

Islamophobia Di Malaysia Bermotifkan Politik

Sentimen Islamophobia yang berlaku di Malaysia ini dilihat bermotifkan politik yang akhirnya mengundang kepada berlakunya tindakan yang melampau ini.

Terbaharu, kenyataan Pengerusi Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Terengganu Hishamuddin Abdul Karim yang mengatakan penyertaan atlet wanita Terengganu dalam acara terjun di Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 tidak mendapat kelulusan rasmi daripada kerajaan negeri kerana tidak mematuhi  kod etika berpakaian atlet Muslim ketika bersukan nyata mengundang rasa senang dalam kalangan musuh parti politiknya.

Mereka dengan pantas mengkritik tindakan kerajaan negeri Terengganu sebagai menyekat kebebasan rakyat untuk bersukan malahan mereka mengatakan tindakan ini sebagai satu tindakan yang konservatif.

Kritikan dan tuduhan yang melampau ini akhirnya mengundang kepada tindakan yang melanggar batasan apabila timbulnya kandungan media sosial yang memaparkan gambar perempuan berniqab membuat terjunan di kolam renang merujuk kepada kenyataan kerajaan negeri Terengganu itu.

Mereka melakukannya atas dasar ingin mengkritik parti politik lawan mereka namun ia nyata telah menghina agama Islam secara terang-terangan.

Sebelum ini pun sudah ada beberapa siri hinaan terhadap Islam di media sosial dengan alasan kebebasan bersuara di Malaysia.

Mereka mensasarkan parti PAS untuk mengkritik dan akhirnya mengambil kesempatan sekali untuk menghina Islam dengan alasan parti PAS membawa imej Islam dalam perjuangannya maka tidak salah hinaan itu dibuat oleh pengkritik.

Ini adalah satu bentuk pemahaman yang songsang kerana mereka nyata berniat jahat ingin memburukkan Islam di mata semua pihak.

Khuatir Timbulnya Perpecahan Dan Ketidakharmonian Masyarakat

Keadaan ini dikhuatiri akan menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan masyarakat terutamanya yang beragama Islam di Malaysia sekiranya ia dibiarkan berlarutan tanpa sebarang tindakan.

Islamofobia boleh membawa kepada polarisasi dalam masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai etnik dan agama.

Ia boleh mencetuskan ketegangan antara komuniti, terutamanya jika ia dipergunakan sebagai alat politik oleh pihak tertentu.

Polarisasi ini boleh mengganggu keharmonian antara kaum dan agama yang telah lama wujud di Malaysia.

Bukan itu sahaja malahan Islamofobia boleh digunakan sebagai alat untuk memecah belah sokongan politik berdasarkan agama.

Hal ini boleh menyebabkan peningkatan politik identiti dan merumitkan usaha kerajaan untuk membina perpaduan nasional.

Ahli politik mungkin menggunakan isu ini untuk mendapatkan sokongan dari kumpulan tertentu, yang boleh menimbulkan ketidakstabilan politik.

Oleh hal yang demikian, pelbagai tindakan perlu diambil untuk mengatasi masalah ini dengan kerajaan perlu memastikan undang-undang yang melarang diskriminasi dan ucapan kebencian dilaksanakan dengan tegas termasuk mengambil tindakan terhadap mereka yang menyebarkan Islamofobia melalui media sosial atau platform lain.

Sekarang ini rakyat melihat penguatkuasaan undang-undang melibatkan 3R (race, royal, religion) hanya dikenakan kepada ahli politik dan rakyat beragama Islam sahaja namun tidak berlaku kepada kumpulan yang bukan beragama Islam.

Maka kerajaan perlu memainkan peranana yang penting bagi mengelakkan berlakunya salah faham rakyat dalam mentafsir isu ini.

Malaysia diyakini boleh mengatasi cabaran yang ditimbulkan oleh Islamofobia dan memastikan bahawa keharmonian antara kaum dan agama terus terpelihara jika menggunakan pendekatan yang betul.

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Cukai GST: Perlukah Diperkenalkan Semula Di Malaysia?

Next Post

Sejarah Penentangan Malayan Union Oleh Orang Melayu

Related Posts