Murid-murid Tingkatan 5 di seluruh Malaysia kini sudah di dalam fasa menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 di kala negeri seperti Kedah, Kelantan dan Terengganu sedang mengalami bencana banjir yang begitu teruk.
Di Kelantan sahaja terdapat 86,382 orang mangsa banjir melibatkan 3,111 calon SPM. Sementara di Terengganu, seramai 37,889 mangsa dengan calon SPM 1,734 orang.
Peperiksaan SPM 2024 yang bermula semalam dimulakan dengan ujian ujian lisan Bahasa Melayu yang akan berlangsung selama empat (4) hari, diikuti dengan ujian lisan Bahasa Inggeris, ujian amali sains dan peperiksaan bertulis.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah mengeluarkan kenyataan dengan mengatakan bahawa keadaan banjir kali ini amat membimbangkan kerana situasinya lebih teruk berbanding banjir yang berlaku pada tahun 2014 lalu.
Malahan keadaan ini dijangka akan menjadi lebih teruk dengan datangnya fenomena air besar di Laut China Selatan dan Selat Melaka.
Namun begitu, kenyataan dan pendirian Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dilihat agak kontra dengan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dengan mengatakan peperiksaan SPM tetap perlu diteruskan dan tiada sebarang penangguhan akan diberi kepada murid-murid yang terjejas dengan banjir.
Murid-murid yang terjejas dengan banjir telah dipindahkan ke asrama sekolah yang terdekat melalui Ops Payung hasil kerjasama dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Calon SPM 2024 Dan Guru Perlu Dijaga Kesejahteraan Emosi Mereka
Tindakan Menteri Pendidikan yang tetap ingin meneruskan perlaksanaan SPM ini nyata mengundang kebimbangan daripada orang ramai.
Keadaan bencana banjir yang teruk ini telah memberikan kesan yang tidak baik kepada emosi dan mental murid-murid yang bertungkus-lumus mempersiapkan diri untuk menghadapi peperiksaan besar ini.
Mental dan emosi yang tidak terjaga ini dikhuatiri akan menjejaskan prestasi mereka ketika menjawab peperiksaan seterusnya mencacatkan keputusan SPM mereka kelak.
Bukan setakat murid malahan nasib guru juga perlu diambil kira kerana berkemungkinan besar guru-guru yang ditugaskan untuk menyelia peperiksaan ini di sekolah turut terjejas akibat bencana banjir.
Wanita BERJASA Datin Asmahan Zaidon menyarankan kerajaan untuk mencari solusi tuntas kepada murid-murid dan guru-guru yang terjejas.
Selain daripada menyediakan asrama sekolah sebagai penginapan, mereka juga layak untuk mendapat khidmat kaunseling bagi memulihkan moral mereka dikala sedang menghadapi peperiksaan besar.
Guru-guru juga perlu dibantu kerana mereka semestinya berdepan kesukaran dalam perjalanan ke sekolah yang dijadikan sebagai pusat peperiksaan.
Sebanyak sepuluh jalan runtuh berlaku di Kelantan ketika ini dan kerosakan jalan ini pasti tidak dapat dibaiki dalam masa yang singkat dan berisiko kepada pengguna jalan.
Oleh hal yang demikian, beliau yang mewakili parti BERJASA Malaysia menggesa agar rakyat turut memainkan peranan penting dengan bersama-sama menyumbang kepada semua mangsa banjir di seluruh negara.
Semoga calon-calon SPM di negeri-negeri yang dilanda banjir ini tetap kuat dan bersemangat untuk belajar walau apa jua cabaran yang dihadapi.