HAWAII – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah menamatkan latihan ketenteraan maritim antarabangsa (Rimpac 2024) yang dijalankan di Hawaii. Rimpac 2024 yang dijalankan dua tahun sekali itu melibatkan 29 negara dengan 25,000 kakitangan dikatakan sebagai peluang untuk latihan bersama, latihan ini dihoskan dan ditadbir oleh Komando Indo-Pasifik Tentera Laut AS di Pearl Harbour, dengan Kor Marin AS, Pengawal Pantai AS dan Pengawal Kebangsaan Hawaii.
Menurut penganjur, tujuan latihan Rimpac ini diadakan adalah untuk membina hubungan, meningkatkan kebolehoperasian dan kecekapan dan menyumbang kepada keamanan serta kestabilan di rantau Indo-Pasifik.
Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menghantar kapal KD Lekiu TLDM bersama kapal perang dan tentera dari negeri seperti Amerika Syarikat, Israel, Australia, New Zealand, Jerman, Perancis, Singapura, Indonesia, Jepun dan Korea Selatan.
Jika diperhatikan dalam skop hubungan antarabangsa dan geopolitik, latihan Rimpac ini mengumpulkan negara-negara yang rapat kepada blok AS dan ini tidak menolak kemungkinan Rimpac adalah satu latihan untuk menekan pengaruh China di Laut China Selatan.
Penglibatan Malaysia dalam Rimpac ini nyata menimbulkan kontroversi sebelum ini apabila 15 kumpulan yang diketuai oleh pergerakan global anti-Israel di Malaysia iaitu Boycott, Divestment, Sanctions (BDS Malaysia) telah mengeluarkan kenyataan bersama mendesak Malaysia agar menarik diri serta-merta daripada Eksesais Rim of the Pacific Exercise (Rimpac).
Selain itu juga, NGO Gegar Amerika berkata latihan ini dilakukan di sebalik serangan berterusan Israel ke atas Gaza.
Mereka mengatakan latihan ini akan memanfaatkan keupayaan senjata Israel untuk berperang di tambah pula mereka kini sedang rancak menghentam Gaza tanpa belas kasihan.
Keagresifan rejim Zionis ini dapat dilihat melalui dua siri pembunuhan yang mereka lakukan baru ini iaitu melancarkan roket ke Beirut untuk membunuh komander Hezbullah, Fuad Shukur dan merancang pembunuhan pemimpin tertinggi Hamas, Ismail Haniyeh di Iran.
Terdahulu, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sebarang keputusan tidak seharusnya menjejaskan kedudukan Malaysia.
“Jika kami mengikuti pendekatan yang dicadangkan, kami perlu menghentikan operasi syarikat seperti Microsoft, Google, Apple dan Facebook,” katanya
Dia juga menegaskan bahawa “tiada negara lain yang lantang seperti Malaysia dalam isu Israel”.
“Kami membantah setiap hari,” katanya kepada pemberita pada Mei lalu.