Tambang Tiket Kelas Ekonomi Bas Ekspres Mungkin Naik Harga

tambang tiket bas ekspres

KUALA LUMPUR – Susulan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel, Persatuan Pengusaha Bas Ekspres Melayu Semenanjung Malaysia (Pembawa) berpandangan harga siling bagi tiket bas ekspres kelas ekonomi perlu dipertimbangkan untuk dinaikkan. Kenaikan tambang tiket kelas ekonomi bas ekspres ini dibuat bagi mengurangkan kesan kerugian yang ditanggung oleh syarikat pengusaha bas.

Yang Dipertuanya, Laili Ismail berkata ketika ini harga siling bagi kelas berkenaan ditetapkan sebanyak 0.09 sen setiap kilometer dan tidak berubah sejak 2008.

Sementara bagi kelas eksekutif, harga lantai yang ditetapkan adalah sebanyak 15 sen bagi setiap kilometer, jelas beliau.

“Bagi kelas ekonomi, ia tidak boleh dinaikkan sesuka hati kerana ia dikawal oleh kerajaan.

“Namun bagi kelas eksekutif, harga lantai (15 sen) tak boleh turun tetapi boleh dinaikkan tanpa kebenaran kerajaan,” katanya dalam sidang media di sebuah hotel di ibu negara pada Isnin.

Penyasaran subsidi untuk diesel berkuat kuasa pada 10 Jun lalu di Semenanjung Malaysia dengan harga ditetapkan RM3.35 seliter.

Mengulas lanjut, Laili berpandangan ramai pengusaha bas ekspres juga kemungkinan akan beralih daripada menggunakan tambang ekonomi kepada tambang eksekutif susulan peningkatan kos.

“Saya berpandangan ramai yang akan berubah ke kelas eksekutif sebab kenaikan kos ini dan kita tak mampu menampung kenaikan tersebut.

“Sejak PKP, kenaikan harga barangan seperti saya beli (sebuah bas) dengan harga RM950,000 sebuah tetapi tahun ini bila nak beli sudah naik kepada RM1.2 juta,” tambah beliau.

Hal ini jelas menunjukkan bahawa penyasaran subsidi diesel turut memberikan impak yang besar kepada kenaikan harga barang di sektor lain.

Terdahulu, para pengusaha bas sekolah diberi amaran untuk tidak menaikkan tambang perkhidmatan kerana perkhidmatan itu menerima subsidi diesel daripada kerajaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sekiranya kenaikan tambang berlaku sehingga membebankan pelajar, kerajaan tidak teragak-agak mengambil tindakan dengan menarik balik lesen mereka.

Dalam masa yang sama juga, pengusaha bas sekolah dan syarikat yang tidak menerima subsidi susulan penyasaran subsidi diesel masih boleh merayu dan sekiranya layak, permohonan mereka akan dipertimbang.

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post
surcaj elektrik

Penurunan Surcaj Elektrik Tidak Mampu Turunkan Harga Barang

Next Post

Program Malaysia My Second Home Perlu Dirombak, Beri Kuasa Penuh Kepada Imigresen

Related Posts