BANGI – Menghapuskan pencen penjawat awam ini merupakan agenda DAP kerana DAP satu-satunya parti yang dilihat amat konsisten dalam mengutarakan perancangan ini daripada dahulu lagi. Kelantangan DAP untuk menghapuskan pencen ini sudah bermula sejak mereka menjadi pembangkang dan kini agenda itu mudah direalisasikan apabila mereka berjaya menjadi kerajaan.
Presiden BERJASA, Zamani Ibrahim berkata parti UMNO yang dahulunya kuat membangkang idea DAP ini akhirnya bersetuju dengan agenda tersebut apabila mula bekerjasama dengan PH. Hal ini dapat dilihat melalui kenyataan Presiden UMNO, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang berjanji bahawa UMNO akan menjadi parti pertama yang membantah idea pemansuhan pencen penjawat awam.
Sama juga dengan kenyataan yang pernah dikeluarkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada Januari 2023 bahawa beliau dengan tegas akan memastikan pencen penjawat awam tidak akan dihapuskan walaupun terdapat ura-ura untuk dilaksanakan idea itu. Namun begitu, kelantangan dua pemimpin ini iaitu Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri untuk mempertahankan pencen penjawat awam rupa-rupanya hanya wayang sahaja dan sanggup tunduk kepada agenda DAP.
“Hari ini sudah jelas Timbalan Perdana Menteri kita, Dato’ Seri Dr. Zahid Hamidi yang mengatakan pencen akan dimansuhkan dan jawatan tetap tanpa berpencen kepada penjawat awam yang baharu dilantik akan diperkenalkan selepas 1 Februari 2024. Beliau sebenarnya gagal untuk menjadikan UMNO sebagai satu parti yang mempertahankan kepentingan orang Melayu”.
“Dato’ Seri Anwar Ibrahim juga gagal mengotakan janjinya untuk mempertahankan dan memastikan pemansuhan itu tidak akan dibuat namun dalam diam DAP telah berjaya melaksanakan agenda mereka”, tegas beliau.
Kata beliau lagi, UMNO sudah pun hilang kukunya kerana Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi gagal mempertahankan prinsipnya. Perdana Menteri juga dilihat tidak cakna dengan nasib orang Melayu kerana penjawat awam daripada dahulu lagi hingga sekarang majoritinya adalah orang Melayu.