Shah Alam: Perspektif politik yang salah yang ditanam di lubuk minda sesetengah wakil rakyat yang menjadikan profesion politik adalah kerjaya yang menguntungkan hanya merugikan rakyat sahaja.
Hal ini demikian kerana kedudukan jawatan politik telah disalah gunakan sebagai lubuk kekayaan dan mencari laba yang melampau sehingga mengganggu fokus mereka untuk berbakti kepada rakyat.
Ketua Pemuda BERJASA, Fahmi Bazlan berkata kerjaya politik itu sendiri yang menawarkan pelbagai inisiatif mewah kepada wakil rakyat boleh dikatakan menjadi agenda utama langkah jatuh-menjatuhkan antara perwakilan kerajaan dan pembangkang.
“Adegan ataupun langkah jatuh-menjatuhkan antara kerajaan dan pembangkang yang dilihat sebelum ini boleh dikatakan didasari atas sifat tamak haloba kepada kedudukan dan jawatan serta wang ringgit”.
“Matlamat mereka yang mengejar wang ringgit dan dilimpahi dengan kemewahan akan menjadikan mereka lupa diri daripada tanggungajwab hakiki sebagai pemimpin. Bertambah parah dan membimbangkan apabila mereka lebih mudah terdedah dengan penyelewengan dan masalah moral”, tegas beliau.
Tambahnya lagi, beliau faham peruntukan yang besar itu diberikan kepada mereka sejajar dengan komitmen dan risiko kerja yang mereka hadapi namun perlulah diiringi dengan hasil kerja yang baik.
Ketua Pemuda BERJASA mempersoalkan terhadap sebahagian ahli Parlimen yang tidak menjalankan kerjanya dengan baik apabila langsung tidak turun padang mendengar permasalahan yang dihadapi oleh rakyat secara kerap.
Apabila tibanya pilihan raya, mereka mula berpusu-pusu berkempen dan berjumpa rakyat bagi menagih undi. Jika sikap sebegini diamalkan oleh ahli Parlimen, niat mereka sudah salah kerana hanya ingin menjamin kedudukan dan kuasa bukannya kebajikan rakyat.
Sebelum ini tular di laman sosial Facebook bahawa kerajaan didakwa membuat bayaran persaraan atau pencen ahli politik bertaraf ahli Parlimen dan Anggota Pentadbiran kerajaan termasuk bekas Perdana Menteri difahamkan mencecahkan sehingga RM2 bilion setahun.
Akaun media sosial bernama Datuk Khairul Anwar Rahmat yang merupakan pengamal undang-undang menulis di laman Facebook beliau mengatakan bahawa kerajaan telah membelanjakan kira-kira RM2 bilion setahun membayar pencen ahli politik yang bertaraf Ahli Parlimen, Timbalan Menteri, Menteri dan Perdana Menteri.
Jika dihitung jumlah perbelanjaan ini, pelbagai infrastruktur mampu dibina, malah masalah air di Kelantan dan Kedah turut mampu dipulihkan jika kerajaan tidak menanggung wang persaraan tersebut.