Isu kekurangan beras tempatan yang mula mendapat perhatian meluas rakyat Malaysia sejak awal tahun ini masih lagi belum diselesaikan oleh kerajaan.
Masalah ini dibangkitkan kembali oleh Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim yang mempersoalkan ketiadaan beras putih tempatan di pasaran ketika ini.
Beliau berkata walaupun kerajaan telah menetapkan harga beras putih tempatan hanya RM2.60 sekilogram, hasil pemeriksaannya mendapati ia hampir tiada di pasaran.
Tambah beliau lagi, tiada guna kerajaan membentangkan belanjawan yang memakan bajet beratus bilion jika masalah melibatkan makanan asasi rakyat Malaysia tidak mampu diselesaikan oleh kerajaan.
Masalah ini layak untuk diangkat dan dipandang secara serius oleh kerajaan memandangkan telah wujud dakwaan yang mengatakan berlakunya campuran antara beras putih tempatan dan beras import berlaku.
Dakwaan ini lantas disahut oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) untuk menyiasat dakwaan ini sama ada ia benar-benar berlaku atau tidak.
Kerajaan Perlu Jawab Kemana Hilangnya Beras Tempatan
Dakwaan wujudnya sindiket mencampurkan beras putih tempatan dengan beras import sudah lama berlaku namun KPKM baru sahaja ingin melakukan siasatan.
KPKM juga dilihat lambat mengambil tindakan kerana baharu sahaja ingin memperkenalkan Peraturan Melarang Campuran Beras Putih Tempatan dengan Beras Putih Import.
Beginilah kerajaan. Apabila rakyat sudah semakin terdesak kerajaan baharu sahaja ingin mengambil tindakan sewajarnya yang sepatutnya sudah lama boleh diambil tindakan.
Padi merupakan komoditi strategik negara yang memainkan peranan penting bukan sahaja sebagai makanan asasi rakyat tetapi juga sebagai sumber pendapatan bagi lebih 230 ribu pesawah.
Jumlah penduduk Malaysia terkini sudah pun melebihi 30 juta orang dan pengeluaran beras tempatan buat masa ini hanya mampu membekalkan keperluan untuk 21 juta pengguna di Malaysia dan selebihnya lagi beras terpaksa diimport melalui Syarikat Padiberas Nasional Berhad (Bernas).
Hal ini menunjukkan bahawa peratusan untuk bekalan beras putih tempatan di pasaran sepatutnya lebih besar kerana ia cukup untuk 21 juta rakyat Malaysia maka isu kekurangan bekalan beras putih tempatan ini sesuatu yang amat cukup pelik.
Jika masalah kekurangan bekalan ini disebabkan oleh masalah cuaca, ia boleh diterima lagi namun masalah yang datang daripada sindiket jahat yang mencampurkan beras putih tempatan dengan berus putih import adalah sesuatu yang tidak boleh diterima sama sekali.
Hal ini tidak ditambah lagi dengan rancaknya pembangunan untuk kawasan perumahan dan perniagaan sehingga mengambil tanah sawah.
Kerajaan Gagal Tangani Isu Kekurangan Beras Tempatan
Oleh hal yang demikian, terbukti kerajaan sebenarnya gagal untuk menyelesaikan masalah ini walaupun sudah dua tahun memerintah.
Apa yang kalimat sering didengari daripada mulut mereka ialah “dalam siasatan”, “akan dipandang secara serius” dan ayat seumpanya yang lain.
Namun hingga kini langsung tiada tindakan serius dan agresif untuk menyelesaikan isu ini daripada pihak kerajaan.
Adakah mereka hanya ingin mengambil jalan mudah sahaja dengan terus mengimport komoditi makanan seperti mana mereka melakukannya untuk menyelesaikan isu kekurangan bekalan telur ayam?
Mereka langsung tiada “political will” untuk menjaga keselamatan bekalan makanan negara kerana beranggapan ia sebagai isu yang kecil sahaja.