Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil menafikan sekeras-kerasnya kenyataan dakwaan bekas Ahli Parlimen Serdang, Prof Dr Ong Kian Ming bahawa kerajaan memberi kontrak rangkaian 5G kedua secara rundingan terus kepada syarikat telekomunikasi dari China, Huawei.
Beliau berkata bahawa belum ada sebarang bidaan dibuka untuk projek berkenaan, setakat ini. Ini sekaligus menyangkal dakwaan Ong Kian Ming yang mengatakan pemeteraian kontrak rangkaian 5G kedua di bawah program dwirangkaian sudah pun dibuat oleh kerajaan.
Namun demikian, kerjasama antara Huawei bersama kerajaan Malaysia dalam projek rangkaian 5G kedua ini kelihatan ada sinarnya untuk termeterai setelah melihat kepada kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam temu bualnya bersama Time pada pertengahan September lalu.
Dalam temu bual tersebut, beliau memberikan gambaran untuk bekerjasama dengan Huawei untuk program rangkaian 5G di Malaysia dengan berpendapat bahawa Malaysia ingin menunjukkan mereka tidak akan terus bergantung harap kepada Amerika Syarikat (AS) untuk pembangunan teknologi, biarpun negara itu adalah rakan dan sekutu sejak sekian lamanya. Tambah beliau lagi, beliau tidak mahu Malaysia hanya bergantung kepada firma Ericsson dari Sweden maka beliau mempelawa berpendapat dengan adanya firma lain yang mempunyai kepakaran yang sama akan merancakkan lagi industri 5G di Malaysia seterusnya memberikan kebaikan kepada rakyat.
Pandangan yang dilontarkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam soal keterbukaan untuk mana-mana syarikat telekomunikasi melabur di Malaysia ini mencerminkan ekonomi negara yang bebas daripada pengaruh satu entiti dan rakyat Malaysia tiada masalah dengan dasar tersebut. Apa yang membimbangkan di sini ialah entiti syarikat Huawei itu sendiri yang sebelum ini mempunyai rekod yang agak merisaukan lebih-lebih lagi dalam soal keselamatan dan integriti.
Syarikat ini telah dituduh melakukan aktiviti pengintipan di beberapa negara apabila Portugal dan Jerman kini turut mengambil tindakan terhadap Huawei berkenaan ancaman keselamatan dari pemasangan infrastruktur 5G mereka. Data adalah sumber yang sangat berharga dalam era digital ini. Keselamatan data rakyat dan negara mesti menjadi keutamaan.
Kerajaan sepatutnya cakna dengan isu ini yang melibatkan keselamatan data rakyat. Laporan daripada Reuters pada 2 Mei 2023 ada melaporkan bahawa negara Amerika Syarikat (AS) dan dan Kesatuan Eropah (EU) mengeluarkan amaran keselamatan kepada Malaysia atas cadangan ingin mengambil firma Huawei sebagai pelabur di dalam rangkaian 5G mereka. AS dan United Kingdom juga telah mengambil tindakan untuk mengeluarkan Huawei dari infrastruktur mereka.
Tiada masalah untuk menerima mana-mana firma telekomunikasi melabur dalam program rangkaian 5G di negara kita namun kerajaan sepatutnya bertanggungjawab untuk menjaga keselamatan data rakyat Malaysia. Alaf baharu ini mungkin akan berlakunya peperangan merebut sumber data manusia bukannya hasil minyak mentah lagi.