Setelah lima tahun dunia dilanda dengan virus Coronavirus (COVID-19) yang mula melunar di China pada tahun 2020, kini China menjadi tumpuan global lagi apabila sedang rancak berlakunya penularan virus hMPV atau nama penuhnya ‘virus metapneumovirus‘ di kalangan rakyatnya.
Penularan virus hMPV ini pastinya menakutkan masyarakat seluruh dunia termasuk rakyat Malaysia kerana mereka khuatir sejarah penularan wabak COVID-19 akan menghantui mereka kembali.
Media antarabangsa dan tempatan sebelum ini juga ada melaporkan penyakit pernafasan yang merujuk kepada virus hMPV semakin meningkat pada tahap membimbangkan di China.
Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit China (CCDCP) mengesahkan bahawa wilayah utara China paling teruk terjejas.
Walaupun laporan di media sosial menggambarkan keadaan yang begitu kritikal, pegawai China dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) belum mengisytiharkan darurat setakat ini.
Dalam situasi yang kecoh mengenai penularan virus ini, pastinya ramai pihak ingin tahu dengan sedalamnya apakah itu virus hMPV dan dalam masa yang sama ingin mengetahui cara pencegahannya daripada terus merebak.
Apakah Itu Virus hMPV?
Virus hMPV merupakan sejenis virus pernafasan yang boleh menyebabkan jangkitan pada sistem pernafasan manusia.
Virus ini pertama kali dikenalpasti pada tahun 2001 dan tergolong dalam keluarga Penumorividae dan genus Metapneumovirus yang merupakan virus RNA rantaian tunggal bersifat negatif yang bersampul.
Namun demikian, terdapat sumber lain yang mengatakan virus ini telah telah wujud sekurang-kurangnya selama 60 tahun dan tersebar di seluruh dunia sebagai patogen pernafasan biasa.
Golongan seperti kanak-kanak, golongan kurang ketahanan badan dan warga emas lebih mudah terdedah serta cenderung mengalami jangkitan bersama dengan virus pernafasan lain.
Virus ini boleh merebak melalui titisan udara iaitu apabila seseorang yang dijangkiti batuk atau bersin, bersalaman ataupun menyentuh orang yang dijangkiti dan menyentuh objek yang tercemar dengan virus dan kemudian menyentuh muka terutamanya di bahagian mata, hidung atau mulut.
HMPV sering menyebabkan gejala selsema biasa seperti batuk, demam, hidung tersumbat dan nafas berbunyi namun dalam kes yang lebih teruk, ia boleh mengakibatkan bronkitis dan radang paru-paru.
Individu yang mempunyai masalah perubatan asas yang dijangkiti oleh hMPV boleh menyebabkan kematian yang mana satu peratus daripada kematian berkaitan jangkitan pernafasan akut dalam kalangan kanak-kanak bawah umur lima tahun boleh dikaitkan dengan hMPV.
Apakah Cara Pencegahan Virus Ini?
Pada masa ini, tiada vaksin atau ubat yang berkesan untuk hMPV dan rawatan lebih tertumpu pada melegakan gejala sahaja.
Oleh hal yang demikian, pencegahan adalah langkah terbaik untuk melindungi diri dan orang sekliling bagi memastikan virus ini tidak merebak secara meluas.
Antara langkah yang boleh dilakukan untuk mencegah virus ini ialah sentiasa pastikan tangan dicuci dengan sabun dan air bersih selama sekurang-kurangnya 20 saat.
Tangan boleh dicuci dengan gunakan pembersih tangan berasaskan alkohol jika tiada akses kepada air dan sabun.
Selain itu, virus ini boleh dicegah dengan sentiasa menutup mulut dan hidung dengan tisu semasa batuk atau bersin.
Hal ini boleh dikatakan bahawa segala langkah pencegahan yang memerlukan aktiviti kebersihan boleh dilakukan untuk mengelakkan individu ataupun mana-mana pihak dijangkiti virus hMPV.
Sama-sama kita doakan agar wabak ini tidak menular dengan serius di Malaysia di kala negara ini masih memerlukan masa untuk pulih sepenuhnya dalam ekonomi.